Search This Blog

Monday, June 13, 2011

MENCARI DIRI

Ramai yang merasa bahawa dia telah kenal dirinya. Namun apabila ditanya, "Siapa dia?", dia hanya mampu memberikan jawapan akan namanya, umurnya, jantinanya, di mana dia dilahirkan, di mana dia dibesar atau biodatanya yang boleh dilihat dengan mata penglihatan. Tidak ramai mampu mengulas dirinya dari sudut dalaman dirinya.

Mari kita lihat ke dalam hati kita. Apa yang dapat dilihat di situ? Setiap orang akan memberi jawapan yang berbeza-beza. Masing-masing dengan jawapannya. Jika hati kosong, maka dia tidak dapat melihat apa-apa di dalam hatinya. Sesungguhnya dalam hati kita pasti ada yang tersimpan sesuatu... maka apa ada dalam hati kamu?


Sesungguhnya telah ada suatu jawapan pasti yang patut ada di hati kamu... tapi pastikah itu jawapan yang sepatutnya? Maka apa patut kita lakukan bagi mempastikan bahawa jawapan itu benar? Selagi tidak mendapat jawapan yang betul, maka selagi itulah hati gelisah. Maka carilah jawapan itu. Pergilah mencari ilmu dan sesungguhnya jawapan itu ada dalam kitab suci al-Quran.

Tak percaya, cubalah... (^_^)

Sunday, June 12, 2011

MENGAPA BEGITU?


Apabila seekor anak binatang dilahirkan atau baru keluar dari kelongsong telurnya maka apakah yang pertama mereka lakukan? Pasti keadaan mereka ketika itu amat lemah dan hanya mengharapkan perlindungan dari ibu atau bapanya.

Setelah anak itu sedikit bertenaga, sang ibu akan menyusukan dan ada yang disuapkan dengan makanan. Apabila anak-anak ini telah bertenaga, maka kita boleh melihat mereka mula bermain-main di sekitar ibu atau bapanya. Terasa terhibur melihat keletah si anak dan si ibu. Untuk meneruskan kelangsungan hidup maka anak sentiasa mengikut ibunya. Mereka diberi pendidikan secara tidak langsung.

Anak kuda berlari. Anak burung terbang. Anak ikan berenang. mereka makan apa yang dimakan oleh ibu dan bapanya. Maka tidakkah kita merasa pelik bagaimana mereka yang baru sahaja lahir ini akan meniru aksi ibu dan bapanya. Pernahkah kita terfikir mengapa anak zirafah tidak pernah memanjat, anak ikan tidak duduk di darat dan anak kucing terbang di udara? Maka apa jawapan kamu?

Saturday, June 11, 2011

KISAH SI MONYET


Pagi itu saya bersama anak saudara yang masih kecil pergi ke tempat itu, di mana ada sekumpulan monyet tinggal, bermain dan mencari makanan. Sebuah kawasan hutan bakau persisiran pantai. Dulunya bilangan monyet tidak sebanyak kini. Bila kawasan hutan banyak diterokai maka monyet-monyet yang ada melarikan diri ke kawasan ini. Pihak berkuasa menghias cantik tempat ini agar ramai pengunjung datang melihat ekologi hutan bakau di samping memberi makan kepada monyet-monyet yang ada.

Di situ ada seorang pengunjung leka melihat monyet-monyet bergayutan di atas pokok. Di tangannya ada karung plastik berisi buah epal dan pisang. Monyet-monyet masih leka bermain di atas pokok bakau yang tinggi. Saya mengeluarkan makanan yang dibawa lalu meletakkannya ke tanah. Tidak sampai 2 minit, monyet-monyet dari kejauhan telah datang menghadap juadahnya pada pagi itu. Tidak takut lagi dengan kehadiran pengunjung yang ada.

Si pengunjung yang tadi leka melihat sang monyet bermain-main, kini menghulurkan sebiji pisang yang dibawanya kepada seekor monyet. Dengan tertib sang monyet mencapainya. Sebiji pisang diberi lagi kepada monyet yang lain. Seekor monyet datang menghampirinya dengan mengendong seekor anak kecil. Sebiji epal dihulurkan kepadanya. Malangnya sebelum sempat si ibu menyambutnya, seekor monyet jantan tiba-tiba datang dan mahu merebutnya.

Si pengunjung tidak mahu memberikan epal itu kepada si monyet jantan. Ini telah menyebabkan monyet jantan menjadi marah. Dibukanya mulutnya luas sambil menunjukkan taringnya yang tajam. Setiap kali pengunjung mengulurkan pada Si Ibu monyet, maka setiap kali itu cuba direbut oleh si monyet jantan. Si pengunjung merasa marah lalu dihalaunya si monyet jantan yang menganggu. Saya dan anak saudara saya serentak tergelak melihat si monyet jantan yang dimarahi oleh si penggunjung bila sebelum dia pergi meninggalkan tempat itu, dia sempat membuat aksi menepuk punggungnya dengan tangannya seperti mengejek si pengunjung tersebut.

Petang itu anak saudara saya telah menunjukkan kenakalannya. Maka saya menegurnya. Tidak disangka-sangka, sambil gelak mengejek, anak saudara saya menunjukkan aksi seperti mana yang ditunjukkan oleh Sang Monyet jantan yang menepuk punggungnya ketika marah. Saya hanya mampu menepuk dahi, dalam hati bertanya, "Monyet yang meniru perbuatan manusia ke atau manusia yang meniru perbuatan monyet?"

Saturday, June 4, 2011

MANUSIA DAN TEKANAN


Tekanan atau Stress! Ayat yang sering terlihat di dada-dada akhbar. Tidak kurang juga disebut-sebut di corong radio, tv, internate dan sebagainya. Manusia kini terhempit dengan tekanan. Bermula dengan tekanan fizikal, kini merebak pula ke tekanan rohani atau jiwa. Kedua-dua ini saling berkaitan.

Setiap orang pasti akan terasa tertekan, mungkin tekanan fizikal, mungkin tekanan rohani atau mungkin ke dua-duanya. Jika mengalami tekanan fizikal, dia mungkin berada ditempat yang sesak yang menyukarkan dia, dia mungkin mendengar bunyi yang terlalu kuat hingga menyakitkan telinganya, dia mungkin melihat sesuatu yang dia tidak suka, dia mungkin mengalami kesakitan pada fizikalnya dan banyak lagi penyebab kepada tekanan fizikal. Tekanan fizikal ini jika tidak ditangani baik boleh menyebabkan berlakunya tekanan jiwa.

Mereka yang mengalami tekanan pada jiwa pula berlaku apabila seorang tidak dapat mengawal emosi dan perasaannya. Ianya amat sukar dikesan bila tekanan itu datangnya secara beransur-ansur. Bermula dari tekanan perasaan yang ringan dia boleh bertukar menjadi tekanan perasaan yang kuat. Pada peringkat tekanan perasaan yang kuat, akal kadang kala tidak dapat berfungsi lagi bagi membezakan di antara perkara yang benar dengan yang salah. Di kala ini mereka kerap dipanggil sebagai pesakit jiwa atau penyakit mental. Ada pesakit yang mengalami tekanan perasaan sehingga akhirnya mempengaruhi kesihatan dirinya. Seorang yang mengalami kanser umpamanya tidak mungkin dapat bertahan lama sekiranya dia mengalami tekanan perasaan.

Maka pencegahan perlu dibuat sebelum jiwa mengalami tekanan yang menyesakan sehingga tekanan fizikal atau rohani yang kecil disangka begitu besar. Ubat pencegah terbaik yang perlu diambil oleh setiap orang adalah dengan melakukan pendekatan beragama kepada diri. Kajian sains membuktikan bahawa semakin dekat seseorang dengan agamanya maka semakin tenang dirinya.

Bagi penganut Islam, melakukan kaedah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw melalui al-Quran dan As-sunah adalah amat perlu. Tidak mengikutinya hanya akan meresahkan diri. Nabi Muhammad saw menggalakkan umat Islam senyum. Senyum ya... bukan ketawa kuat-kuat... Dengan senyum, banyak masalah dapat diselesaikan... Mari kita senyum... (^____^)

KEPENTINGAN TUMBUH-TUMBUHAN


Seumpama irama dan lagu begitulah manusia dengan tumbuh-tumbuhan. Tumbuhan tidak perlukan manusia tetapi manusia yang memerlukan tumbuhan. Mengapa? Kerana manusia perlu bernafas, makan, peralatan, perubatan, penghias pemandangan, penghalang hakisan, penyejuk alam, penenang fikiran, penghalang kepanasan, dan sebagainya. Semuanya itu ada kaitan dengan tumbuhan.

Malangnya manusia tidak pandai melayan tumbuhan. Banyak tumbuhan ditebang. Kebanyakan manusia tahu bahawa tumbuhan itu amat penting kepada mereka tetapi tidak ramai mengambil tindakan untuk mempastikan kesenambungan tumbuhan itu tetap dalam keadaan baik terpelihara di habitatnya.

Akibat dari tangapan yang mengatakan mudahnya tumbuhan ini dapat hidup mengantikan tumbuhan yang dilupuskan maka penebangan kawasan hutan dilakukan berleluasa. Kawasan hijau semakin kecil sehingga akhirnya kawasan habitat untuk haiwan liar jua semakin mengurang. Monyet-monyet liar, tupai, babi hutan dan penghuni hutan termasuk harimau dan gajah terpaksa mencari makan di pinggir kampung dan ini memberi masalah kepada penduduk kampung. Amat menyedihkan jika binatang ini semakin mengecil bilangannya akibat tiada tempat berlindung dan makanannya, sedang manusia ada yang sewenang-wenang membunuh mereka.

Oleh itu sayanglah tumbuh-tumbuhan. Tanamlah seberapa banyak tumbuhan yang boleh memandangkan tidaklah sia-sia usaha itu. Sesungguhnya jika seandainya kita tahu esok kiamat, sedangkan ditangan kita ada benih tumbuhan, maka janganlah was-was menanam benih tersebut kerana menanam tumbuh-tumbuhan itu sememangnya akan diberi ganjaran pahala oleh Tuhan. Selamat bercinta dengan tumbuh-tumbuhan... (^_^)

JAMBU BATU


NAMA LAIN : Guava (Inggeris)
NAMA BOTANI : Psidium guajava L.
NAMA SINONIM : P. aromaticum Blanco, P. pomiferum L., P. pyriferum L.
KELUARGA : Myrtaceae

TABURAN
Berasal dari Amerika Tropika. Kini boleh didapati di negara beriklim tropika pada ketinggian 1-1,200 m dari aras laut. Sesuai di tanah gembur dan liat. Perlu kawasan panas dan lembab. Ditanam di perkarangan rumah dan kebun. Terdapat spesis yang tumbuh liar di kawasan penempatan, pinggiran jalan dan penanaman.

KETERANGAN TANAMAN
Pokok kecil setinggi 2-10 m, mempunyai percabangan yang banyak. Batang berkayu keras, kulit batang licin mengelupas, bewarna cokelat kehijauan. Daun tunggal, bertangkai pendek, terletak berhadapan, daun muda berbulu halus, permukaan atas daun tua licin. Helaian daun berbentuk gujur memanjang, panjang 6-14 cm, lebar 3-6 cm, bewarna hijau, berasa manis, bersifat neutral. Bunga tunggal, bertangkai panjang, keluar dari ketiak daun, putih, berkelopak lima. Buah bulat bujur, hijau ketika muda dan bertukar kekuning apabila matang, bersaiz besar, mempunyai biji-biji kecil yang terkumpul di bahagian tengah isi buah. Isi buah tebal, rasanya sedap, manis, bewarna kuning atau kemerahan. Berbuah sepanjang tahun. Isi buah boleh dimakan segar, diawet atau dimasak. Biji kecil, bulat, keras. Pembiakkan dari biji benih dan tut. Tidak memerlukan penyelenggaraan tinggi. Terdapat spesis yang perlukan penyelenggaraan rapi kerana terdapatnya serangga perosak gemar menyerang buah dan daun. Kini ada menanamnya sebagai tanaman landskap sama ada untuk hiasan mahupun untuk makanan fauna kecil.

KANDUNGAN KIMIA
Daun - Mengandungi tanin, eugenol, minyak lemak, damar, triterpenoid.
Buah - Mengandungi asid amino (tritofan, lisin), pektin, kalsium, fosforus, besi, mangan, magnesium, belerang dan Vitamin (A, B1, C). Banyak serat larut air di kulitnya dapat mengganggu penyerapan glukosa dan lemak makanan lalu membuangnya ke luar tubuh.



KHASIAT UBATAN
Daun – Sebagai antidiare, antiradang, hentikan pendarahan,peluruh haid.
Buah - Sebagai antioksidan kerana beta karoten dan vitamin C yang tinggi sehingga dapat meningkatkan daya tahan tubuh.

PENYAKIT YANG DIUBATI
Daun – Mengubati sakit perut, cirit birit, perut kembung pada bayi serta anak kecil, kolestrol darah tinggi, haid tidak lancar, sering buang air kecil, luka berdarah, pecah mulut.
Buah – Mengubati kencing manis, kolestrol darah tinggi, sembelit.
Akar – Mengubati cirit birit.

CARA PENGGUNAAN UMUM
· Ubat minum - Daun segar direbus lalu diminum air rebusannya.
· Untuk pemakaian luar - Daun segar direbus, lalu air rebusan digunakan untuk mencuci luka dan kemaluan wanita. Cara lain, daun ditumbuk lumat lalu ditampalkan pada luka.

CONTOH PENGGUNAAN KHUSUS
1. Sakit Perut - 30 g daun jambu batu dibasuh, ditumbuk lumat, dicampur sedikit garam dan ½ cawan air disapai rata. Perah dan minum airnya semuanya. Sekiranya masih sakit, lakukan penguatan ini 2-3 kali sehari.
2. Kencing Manis - 1 biji buah Jambu Batu yang hampir masak dibelah-belah, dicuci lalu direbus dengan 1 L air. Minum air rebusannya 2 kali sehari. Lakukan selalu.
3. Menurunkan Kolestrol Darah Yang Tinggi – 7 helai daun jambu batu, 2 genggam daun cermai dan 10 helai daun sirih dibasuh lalu direbus di dalam 3 gelas air. Biarkan airnya tinggal separuh. Setelah sejuk, tapis lalu diminum ¾ gelas. Lakukan 2 kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.
4. Perut Anak Kembung - 3 helai daun Jambu Batu, 2 cm kulit kayu manis, 5 biji jintan manis dan 1½ gelas direbus sehingga airnya tinggal separuh. Tapis. Minum 3 kali sehari. Beri anak berusia bawah 3 tahun sebanyak 1 sudu besar air rebusan manakala anak lebih 3 tahun diberi 2 sudu besar air rebusan.
5. Sering Buang Air Kecil - Segenggam daun Jambu Batu, segenggam tepung beras digoreng tanpa minyak sehingga kuning dan 3 gelas air direbus sehingga airnya tinggal separuh. Setelah sejuk, tapis dan minum airnya ½ gelas. Lakukan 3 kali sehari setiap hari sehingga semboh.

Friday, June 3, 2011

MELIHAT ALAM



"Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya." (Al-Ra'd : 4)


Ayat di atas adalah salah satu ayat Allah yang terdapat di dalam al-Quran yang menyuruh supaya manusia melihat alam. Tiadalah alam ini dijadikan dengan sia-sia kerana setiap yang ada walau satu atom itu ada kegunaannya yang tersendiri. Semuanya ada sebab mengapa Allah menjadikannya.

Alam tabii ini ada yang semulajadi dan ada yang telah diberi campur tangan manusia. Bagi mereka yang mahu mencari ketenangan sebaiknya melihat alam semulajadi yang dijadikan oleh Allah tanpa air tangan manusia. Di situ ada keindahan. Di situ ada kesegaran. Di situ ada kesempurnaan. Apabila manusia menganggu kejadian alam semulajadi maka yang ada hanya kegunsaran. Yang ada hanya kesengsaraan. Yang sempurna menjadi kucar kacir. Lihat sahaja kepada bukit yang dipotong sesuka hati manusia. Tidakkah hati risau melihatnya di kala hujan lebat melanda. Entah bilakah dia runtuh menimpah rumah di bawah cerun.

Alam ini ayat-ayat Allah. Allah menggalakkan manusia melakukan renungan pada alam dengan bersungguh-sungguh. Mereka yang berniat mahu mencari kebenaran maka Allah akan membantu mereka, InsyaALlah. Nabi Muhammad saw sendiri melihat alam. Dilihat lalu akalnya berfikir bahawa sungguhlah jika tiada Tuhan, maka tiadalah alam ini tercipta. Maka tidakkah selayaknya kita bersyukur kepada Allah sahaja. Sungguh tiadalah alam ini diciptakan oleh 2, 3 atau lebih tuhan... kerana jika lebih dari satu tuhan menjadikannya maka kucar kacirlah alam ini apabila tuhan-tuhan ini akan saling bertelingkah apabila terdapat pertindanan pada tugas-tugas mereka.

Maka bersyukurlah kita hanya kepada Allah Yang Satu.... memuji dan memuja Nya... beribadah hanya kepada Nya... Alhamdulillah kerana dijadikan kita sebagai hamba Nya.