Search This Blog

Tuesday, May 5, 2020

ANDA KELIRU SIAPA ABU SUFYAN DALAM KISAH NABI MUHAMMAD SAW?

Siapakah Abu Sufyan dalam Sirah Nabi Muhammad Saw? Seringkali kita bertemu nama Abu Sufyan tertulis dalam sirah Nabi Muhammad saw. Adakala kita dapati Abu Sufyan itu adalah sahabat Nabi saw yang amat menyayangi baginda. Adakala kita dapati Abu Sufyan itu pula adalah musuh yang amat membenci baginda sehingga mahu membunuh baginda. Adakah mereka ini orang yang sama atau orang yang berbeza? Ada yang mengatakan bahawa terdapat lebih seorang Abu Sufyan hidup di zaman Nabi saw. Kekeliruan ini berlaku kerana penulis hanya meletak nama Abu Sufyan sahaja tanpa nama bapanya. Maka marilah kita selusuri siapa sebenarnya Abu Sufyan. Sesungguhnya, terdapat 2 orang Abu Sufyan yang hidup bersama-sama Nabi saw iaitu Abu Sufyan bin Harb dan Abu Sufyan bin Al-Harith di mana mereka ini merupakan kaum keluarga Nabi saw. Berikut adalah kisah Abu Sufyan-Abu Sufyan tersebut. 1.Abu Sufyan bin Harb Nama asal Abu Sufyan bin Harb ialah Shakhar bin Harb, lahir 11 tahun lebih awal dari Nabi saw. Beliau berasal dari golongan bangsawan Arab Quraisy iaitu satu golongan dengan Nabi saw tetapi dari bani Abdus Syam manakala Nabi saw dari bani Hasyim. Selaku ketua bani Abdus Syam, beliau merupakan pemimpin yang berkaliber, bijaksana, tidak suka ambil keputusan tergesa-gesa walaupun beliau suka hidup mewah dan suka bermegah-megah. Kekayaannya itu bukan sahaja didapati dari harta warisan keluarganya tetapi juga dari perniagaannya yang maju kerana beliau bijak berniaga. Sebelum Nabi saw dilantik menjadi Utusan Allah, hubungan baginda dan Abu Sufyan amat baik dan Abu Sufyan amat mempercayai baginda. Setelah Nabi saw dilantik menjadi Utusan Allah dan mengajak penduduk Makkah termasuk Abu Sufyan menyembah Allah dan tidak lagi menyembah berhala, Abu Sufyan merasa marah dan menolak ajaran baginda. Abu Sufyan tetap mahu menyembah dan taat kepada berhala sembahannya yang bernama Hubal kerana menyangka berhala itu yang membantu hidupnya. Sejak itu beliau memusuhi Nabi saw kerana ajaran yang baginda bawa. Apabila anak perempuan Abu Sufyan yang bernama Habibah memeluk agama Islam bersama suaminya maka beliau telah menyeksa anak perempuannya itu agar meninggalkan agama Islam. Atas saranan Nabi saw akhirnya anak dan menantu Abu Sufyan telah melarikan diri ke Habsyah bersama beberapa orang pengikut Nabi saw yang telah dizalimi. Abu Sufyan menghantar utusannya ke Habsyah bagi meminta Raja Habsyah menyerahkan semula anak menantunya dan pengikut Nabi saw kepadanya. Raja Habsyah tidak setuju kerana beliau telah beri pelindungan kepada semua pengikut Nabi saw yang berada di situ. Abu Sufyan bersama pemimpin-pemimpin bani Quraisy berusaha menghentikan dakwah Nabi saw. Mereka khuatir jika penduduk Makkah terima agama Islam maka mereka pasti tersingkir dari menjadi pemimpin bila penduduk Makkah mengangkat Nabi saw menjadi pemimpin Makkah. Mereka tidak mahu hilang pengaruh dan kuasa. Jika itu berlaku maka mereka akan jatuh miskin bila orang Arab di Tanah Arab yang menyembah berhala tidak lagi mahu berniaga dengan mereka. Mereka pergi memujuk bapa saudara yang menjadi bapa angkat Nabi saw iaitu Abu Thalib bin Abdul Muthalib agar menghalang Nabi saw dari terus berdakwah. Abu Thalib tidak berjaya memujuk Nabi saw malah beliau selaku ketua bani Hasyim dan bani Abdul Muthalib bertindak memberi pelindungan kepada Nabi saw dan pengikut Nabi saw. Pada tahun 617 Masehi, Abu Sufyan dan pemimpin-pemimpin bani Quraisy lain telah menandatangani perjanjian bagi memulaukan Nabi saw bersama dengan pengikutnya termasuklah Abu Thalib, bani Hasyim dan bani Abdul Muthalib yang melindungi mereka. Mereka mengusir dan mengurung kumpulan Nabi saw itu pergi ke kawasan pergunungan di timur Ka’abah agar Nabi saw dan orang-orangnya tidak ada tempat perlindungan, tidak mendapat bekalan makanan, minuman, perubatan dan lain-lain keperluan bagi meneruskan kehidupan. Pemulauan yang hampir memusnahkan kumpulan Nabi saw itu tamat pada tahun 619 Masehi bila ada penduduk Makkah menghentikannya dan Abu Sufyan serta para pemimpin bani Quraisy lain tidak dapat menghalangnya. Walaupun Abu Sufyan berusaha mahu menghentikan Nabi saw dari terus berdakwah namun beliau selaku Ketua Pemimpin Bani-Bani Quraisy tetap berlaku adil kepada anak-anak perempuan Nabi saw. Contohnya, apabila anak Nabi saw yang bernama Fatimah ditampar tanpa sebab oleh Abu Jahal maka beliau dia telah menjatuhkan hukuman agar Fatimah memukul Abu Jahal sebagai balasan. Apabila keadaan tegang ketika anak Nabi saw yang bernama Zainab mengalami keguguran ketika mahu melarikan diri dari Makkah, beliau telah bertindak membantu mengendurkan keadaan ketika itu dan memberi nasihat kepada Kinanah bin Rabi yang melindungi Zainab sehingga akhirnya Kinanah berjaya menghantar Zainab bertemu Nabi saw di Yathrib. Sesungguhnya Nabi saw dan pengikutnya telah berjaya melarikan diri ke Yathrib pada tahun 622 Masehi walaupun ketat pengawalan yang Abu Sufyan bersama pemimpin bani Quraisyla lakukan bagi pastikan ajaran agama Islam tidak merebak keluar dari Makkah. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa bila pemimpin dan penduduk Yathrib beri perlindungan kepada Nabi saw dan pengikutnya malah melantik Nabi saw menjadi Raja Yathrib. Oleh itu mereka menghantar pengikut mereka ke Yathrib bagi mengganggu Nabi saw dan pengikut baginda. Walaupun Nabi saw telah berkali-kali beri amaran agar tidak mengganggu pengikut baginda namun mereka tetap terus menerus melakukan gangguan dan menzalimi pengikut Nabi saw. Pada tahun 624 Masehi, Abu Sufyan bersama 40 orang pembantunya telah membawa barang dagangan miliknya dan milik penduduk Makkah bagi dijual di Syam. Ketika itu beliau telah diberi amaran bahawa Nabi saw dan pengikutnya sedang menunggunya lalu di jalan ke Syam bagi merampas barang dagangan tersebut. Abu Sufyan tahu bahawa Nabi saw lakukan demikian bagi membalas perbuatan pengikutnya yang sering merampas harta pengikut Nabi saw. Oleh itu beliau berusaha mengelak rombongannya dari dikepung Nabi saw dan pengikutnya sehingga akhirnya beliau dan rombongannya selamat sampai di Syam. Apabila mahu balik ke Makkah, beliau membuat langkah yang lebih berhati-hati kerana beliau yakin bahawa Nabi saw akan lebih teliti membuat rancangan bagi merampas barang dagangan itu. Abu Sufyan sentiasa merisik berita tentang Nabi saw. Apabila beliau mendapat berita bahawa Nabi saw bersama pengikutnya ada di Badar bagi mengepung rombongannya di situ maka beliau mengupah Damdam bin Amar pergi ke Makkah bagi meminta penduduk Makkah datang membantunya. Damdam membuat muslihat mengatakan bahawa dia telah diserang oleh pengikut Nabi saw. Mendengarkan itu maka Abu Jahal selaku ketua tentera Makkah segera memimpin angkatan tenteranya pergi ke Badar bagi membantu Abu Sufyan menentang Nabi saw dan pengikutnya. Semasa Abu Jahal dan pasukan tentera dalam perjalanan ke Badar, Abu Sufyan telah berjaya melepaskan dirinya dan rombongannya dari kepungan Nabi saw bila mereka mengikut jalan lain tanpa melalui Badar. Oleh itu, Abu Sufyan telah menghantar perintah agar Abu Jahal memimpin pasukan tenteranya balik ke Makkah tanpa perlu berperang. Abu Jahal berkeras mahu berperang dengan pasukan Nabi saw kerana beliau malu balik tanpa berperang. Abu Jahal yakin pasukan tenteranya yang ramai dan lengkap bersenjata itu pasti dapat mengalahkan pasukan Nabi saw yang tidak ramai dan tidak mempunyai senjata itu. Setelah pertempuran hebat berlaku di antara pasukan Nabi saw yang seramai 352 orang dengan tentera Abu Jahal yang seramai 1,000 orang itu, pasukan Nabi saw telah menang bila Allah menghantar malaikat Nya berperang bersama pasukan Nabi saw. Ramai pemimpin Quraisy terbunuh termasuklah Abu Jahal dan bapa mertua Abu Sufyan yang bernama Utbah bin Rabiah. Apabila Abu Sufyan mendapat tahu kekalahan pasukan tenteranya, beliau merasa amat marah kerana tenteranya ingkar perintahnya yang menyuruh mereka pulang ke Makkah tanpa berperang. Beliau bernazar tidak akan mandi junub hingga beliau dapat kalahkan Nabi saw manakala isterinya, Hindun binti Utbah, juga bernazar tidak akan memakai minyak sehingga dapat menuntut bela ke atas kematian ayahnya serta ahli keluarganya yang lain. Setelah 3 bulan Perang Badar berlalu, Abu Sufyan mahu membayar nazarnya walaupun beliau tidak berani masuk ke Madinah. Oleh itu beliau memimpin pasukan tenteranya pergi ke Uraidz yang terletak di pinggir Madinah. Di sana, mereka bertemu dengan dua orang pekebun kurma bani Ansar yang menganut Islam lalu membunuh ke dua-dua orang tersebut dan membakar rumah serta sebatang pokok kurma milik orang Ansar tersebut. Abu Sufyan merasakan dengan berbuat demikian maka beliau telah berjaya melepaskan dirinya dari nazar yang telah dibuat. Setelah berbuat demikian, Abu Sufyan segera memimpin pasukan tenteranya balik ke Makkah kerana takut bertempur dengan pasukan Nabi saw. Perbuatan Abu Sufyan itu telah sampai kepengetahuan Nabi saw lalu baginda segera memimpin pasukannya pergi mengejar pasukan Abu Sufyan. Apabila Abu Sufyan mendapat berita bahawa Nabi saw dan pasukan baginda sedang mengejar pasukan tenteranya, beliau menjadi semakin takut. Beliau perintahkan pasukan tenteranya segera pulang ke Makkah tanpa membawa bekalan makanan yang banyak mereka bawa. Bekalan makanan itu diambil oleh tentera Islam sebagai harta rampasan perang. Disebabkan itu maka Abu Sufyan tidak dapat mendabik dada seperti mana yang beliau harapkan sebelum pergi melakukan serangan kepada orang Islam di Madinah. Beliau merasa amat malu dan terima tamparan hebat bila masyarakat Arab tahu bahawa beliau memimpin pasukan tenteranya melarikan diri dan meninggalkan bekalan makanan mereka bila dikejar oleh pasukan Islam. Abu Sufyan semakin berdendam kepada Nabi saw lalu pada tahun 625 Masehi, beliau memimpin 3,000 orang tentera Quraisy bersama kaum perempuan mereka pergi ke Madinah bagi menyerang Nabi saw dan pengikutnya secara mengejut. Rancangan Abu Sufyan tidak menjadi bila tentera Islam di bawah pimpinan Nabi saw telah menunggu berhampiran pergunungan Uhud lalu berlaku pertempuran di situ. Mulanya tentera Abu Sufyan kalah dan melarikan diri tetapi akhirnya beroleh kemenangan bila ada pasukan tenteranya berjaya mengempur tentera Islam secara tiba-tiba. Barisan tentera Islam kucar kacir sehingga menyebabkan Nabi saw dan pasukan tenteranya berundur dari situ. Abu Sufyan mencabar tentera Islam berperang di Badar pada tahun depan lalu cabaran itu diterima oleh Nabi saw. Ketika mereka dalam perjalanan balik ke Makkah, tiba-tiba utusan Nabi saw datang bertemu bu Sufyan bagi menyatakan bahawa Nabi saw meminta mahu berperang semula. Abu Sufyan takut mahu berperang lagi lalu beliau cuba menakutkan tentera Islam agar balik ke Madinah. Malangnya tentera Islam tetap mahu berperang dan menunggu pasukannya di Hamra Al-Asad. Abu Sufyan takut kalah jika bertempur lagi dan mahu mempertahankan kemenangannya di Uhud. Beliau segera memimpin pasukan tenteranya balik ke Makkah lalu disambut penduduk Makkah dengan meriah. Abu Sufyan menyembah Berhala Hubal di Ka’bah kerana menyangka patung itu menolongnya menang dalam Perang Uhud. Beliau pulang ke rumah setelah membayar nazar yang dilakukannya ketika kalah di Badar. Nabi saw berbincang bersama para sahabat baginda akan hal kekalahan mereka di Uhud. Ada pendapat mengusulkan agar Abu Sufyan dibunuh sebagai hukuman kerana menyebabkan ramai sahabat baginda terbunuh dan ada yang mengatakan jika Abu Sufyan tiada maka mudahlah mereka mempengaruhi orang Quraisy memeluk Islam. Setelah mendapat persetujuan baginda maka Amru bin Umayyah dan seorang Ansar pergi ke Makkah bagi melakukan tugasan itu. Rancangan itu gagal bila penduduk Makkah syak Amru mahu melakukan sesuatu yang tidak elok lalu Amru melarikan diri balik ke Madinah bagi memberitahu baginda tentang kegagalannya. Setahun selepas Perang Uhud berlaku maka Abu Sufyan perlu melaksanakan cabarannya berperang dengan pasukan Nabi saw di Badar. Ketika itu musim panas dan Abu Sufyan malu beritahu Nabi saw bahawa beliau tidak mahu berperang ketika itu. Beliau menghantar utusannya pergi ke Madinah bagi menakutkan tentera Madinah agar tidak pergi berperang tetapi tentera Islam tetap mahu berperang. Bagi mengelak malu maka Abu Sufyan memimpin tenteranya pergi ke Badar tetapi terpaksa berpatah balik kerana tidak sanggup berjalan dalam cuaca yang amat panas. Oleh itu kemenangan diberikan kepada pasukan Nabi saw manakala Abu Sufyan terpaksa menanggung malu. Maruahnya dan orang Quraisy jadi semakin rendah. Pada tahun 627 Masehi, bagi meningkatkan semula maruah diri Abu Sufyan dan orang Quraisy maka Abu Sufyan telah bersekutu dengan kaum Ghatafan dan orang Yahudi bagi menyerang Nabi saw dan pengikutnya di Madinah. Seramai 10,000 orang tentera bersekutu dipimpin Abu Sufyan pergi ke Madinah. Perjalanan mereka terhenti apabila ada parit besar menghalang mereka masuk ke sana. Abu Sufyan mengarahkan tenteranya membuat markas di Mujtama Al-As-Syal. Apabila ada tenteranya terbunuh ketika cuba melepasi parit besar itu, Abu Sufyan mahu menembus mayat tenteranya itu dengan 100 ekor unta tetapi Nabi saw memberi mayat tersebut kepadanya tanpa mengenakan sebarang bayaran. Perang itu dinamakan Perang Khandaq (Parit) dan kemenangan berpihak kepada Nabi saw. Pasukan Abu Sufyan dianggap kalah bila Abu Sufyan memimpin pasukan tenteranya pergi melarikan diri dari situ. Markas mereka runtuh. Banyak binatang tunggangan mereka mati dan melarikan diri bila tiba-tiba hujan lebat dan angin ribut berlaku di situ pada malam Sabtu, malam yang sepatutnya mereka lakukan persiapan bagi melakukan serangan kepada pasukan Nabi saw pada sebelah paginya. Apabila Abu Sufyan melihat keadaan tenteranya kelam kabut, beliau merasa risau jika tentera Nabi saw datang menyerang mereka ketika itu. Oleh itu, beliau segera mengarahkan tenteranya pergi dari situ dengan meninggalkan semua harta benda yang mereka bawa. Maruah Abu Sufyan dan Tentera Bersekutu semakin rendah di mata orang Arab di rantau itu. Mereka tidak berani lagi menyerang Nabi saw kerana kekuatan pasukan tentera Nabi saw telah melebihi dari kekuatan mereka ketika itu. Setahun kemudian, apabila Abu Sufyan mendapat berita bahawa Nabi saw memimpin pengikutnya dalam perjalanan menuju ke Makkah kerana mahu mengerjakan umrah, beliau telah arahkan tentera berkuda Quraisy pergi menghalang rombongan tersebut. Malangnya Nabi saw menggunakan jalan lain bagi mengelak dari bertembung dengan tentera tersebut. Mereka berhenti di Hudaibiyah bagi meminta Abu Sufyan dan pemimpin Quraisy agar membenarkan mereka masuk ke Makkah dengan aman. Abu Sufyan merasa terkejut bila mendapat berita bahawa rombongan Nabi saw telah berkhemah berhampiran kota Makkah. Beliau menghantar utusannya sebanyak 3 kali bagi mengetahui tujuan sebenar kedatangan Nabi saw dan rombongannya ke situ. Walaupun ketiga-tiga utusannya membuktikan bahawa kedatangan Nabi saw adalah untuk mengerjakan umrah, Abu Sufyan dan pemimpin Quraisy lain tetap tidak mahu membenarkan mereka masuk ke Makkah kerana ketua tentera berkuda mereka telah bersumpah tidak akan membenarkan rombongan Nabi saw masuk ke Makkah. Mereka tidak mahu maruah mereka semakin dipandang rendah jika mereka benarkan Nabi saw dan pengikutnya masuk ke Makkah. Nabi saw telah menghantar Utsman bin Affan pergi masuk ke kota Makkah sebagai wakil baginda bagi berbincang dengan Abu Sufyan dan pemimpin Quraisy yang lain. Mereka menahan Utsman dan menyebarkan berita bahawa Utsman telah dibunuh bagi menakutkan pengikut Nabi saw agar balik ke Madinah. Nabi saw dan pengikut baginda melakukan ikrar nekad mahu menyerang Makkah bagi membalas kematian Utsman. Mendengar berita itu, Abu Sufyan merasa gentar lalu melepaskan Utsman pergi. Beliau menghantar Suhail bin Amar ke Hudaibiyah sebagai wakilnya bagi berbincang dengan Nabi saw. Walaupun hasil perbincangan Suhail dan Nabi saw itu berat sebelah dan banyak menyebelahi orang kafir Quraisy Makkah tetapi Nabi saw tetap menerimanya. Dengan itu maka Abu Sufyan dan pemimpin-pemimpin Quraisy Makkah telah terikat kepada Perjanjian Damai yang telah ditandatangani oleh Suhail bagi pihak mereka dengan Nabi saw bagi pihak orang Islam. Di antara syarat perjanjian itu mereka perlu melakukan gencatan senjata dengan pihak Nabi saw, di mana mereka dan rakan sekutu mereka tidak boleh memerangi Nabi saw, pengikutnya dan rakan sekutu mereka selama 10 tahun dan Nabi saw serta rombongannya tidak boleh menunai umrah pada tahun itu. Abu Sufyan merasa lega bila Nabi saw setuju balik ke Madinah tanpa masuk ke Makkah ketika itu. Sejurus Perjanjian Hudaibiyah itu dilakukan, Nabi saw telah bernikah dengan anak Abu Sufyan, Ummu Habibah yang berada di Habsyah, bagi menghargai ikatan Perjanjian Damai yang baginda ada bersama dengan Abu Sufyan. Abu Sufyan pula tidak gembira dan tidak menghargai ikatan itu. Beliau dan pemimpin Quraisy yang menyembah berhala menunggu Nabi saw dan pengikut baginda menjadi lemah agar dapat mereka dapat melepaskan diri dari Perjanjian Damai yang mengambil tempoh selama 10 tahun itu. Sejak ada Perjanjian Damai itu, Abu Sufyan pergi berniaga ke Syam tanpa diganggu oleh pengikut Nabi saw. Pada suatu ketika beliau berada di Palestine, beliau telah dipanggil bertemu dengan Raja Rumawi yang bernama Heraklius. Heraklius bertanya kepadanya tentang Nabi saw lalu beliau menjawab dengan betul. Mendengar jawapan Abu Sufyan, Heraklius yang diajak Nabi saw agar beriman kepada Allah dapat merasakan bahawa Nabi saw adalah Utusan Allah yang mereka tunggu selama itu. Melihatkan Raja Rumawi gentar kepada Nabi saw, Abu Sufyan kagum kepada Nabi saw dan sedar bahawa menantunya itu membawa agama yang benar. Malangnya beliau tidak mahu memeluk agama Islam kerana khuatir tidak dapat lagi menjadi pemimpin Makkah. Beliau memilih untuk terus menyembah berhala. Setelah setahun Perjanjian Damai di Hudaibiyah ditandatangani, Nabi saw membawa pengikutnya melakukan ibadah Umrah Pengganti. Mereka tidak dapat melakukan haji kerana mereka hanya dibenarkan berada di Makkah selama 3 hari sahaja. Dalam tempoh itu, Abu Sufyan dan penduduk Makkah hanya mampu melihat sahaja apa yang Nabi saw dan pengikutnya lakukan tanpa boleh mengusir mereka. Sebaik tamat tempoh 3 hari, mereka segera menyuruh Nabi saw membawa pengikutnya keluar dari Makkah kerana khuatir penduduk Makkah akan terpengaruh memeluk agama Islam apabila mereka melihat tingkah laku Nabi saw dan pengikut baginda yang amat baik. Beberapa bulan kemudian, Abu Sufyan diberitahu bahawa tentera Islam yang pergi berperang di Mu’tah tidak mengejar tentera Rumawi yang melarikan diri dari medan pertempuran sehingga merendahkan maruah Nabi saw dan orang Islam di mata orang Arab. Abu Sufyan dan pemimpin-pemimpin kafir Quraisy Makkah merasakan itulah masa yang sesuai bagi mereka melepaskan diri dari Perjanjian Damai di antara mereka dengan Nabi saw. Seorang pemimpin Quraisy yang bernama Ikrimah bin Abu Jahal telah memberi galakkan dan membekalkan senjata kepada bani Bakar, sekutu orang Quraisy, pergi menyerang perkampungan bani Khuza’ah yang bersekutu dengan Nabi saw dan orang Islam. Perbuatan Ikrimah dan bani Bakar itu telah mencabul Perjanjian Damai yang ada di antara pemimpin Quraisy dengan Nabi saw. Abu Sufyan merasa gementar jika Nabi saw datang bersama tenteranya ke situ bagi membalas perbuatan Ikrimah dan bani Bakar. Beliau bersama para pemimpin Quraisy berbincang akan hal itu lalu Abu Sufyan diminta pergi bertemu dengan Nabi saw memandangkan beliau adalah Ketua Pemimpin mereka dan mempunyai akal paling bijaksana di antara mereka. Tambahan pula beliau merupakan bapa mertua Nabi saw maka pasti itu akan memudahkan beliau meminta Nabi saw memperteguhkan semula Perjanjian Damai yang telah terbatal itu. Mendapatkan tanggung jawab yang amat berat itu maka Abu Sufyan segera pergi ke Madinah. beliau merasa tugas itu amat sukar bila Nabi saw telah tahu akan serangan itu. beliau membuat tindakan dengan berhati-hati dan mahu tahu apakah rancangan Nabi saw. Oleh itu beliau bertemu dengan anaknya, Ummu Habibah, yang menjadi isteri Nabi saw. Malangnya anaknya tidak mahu beri kerjasama malah tidak benarkan beliau duduk di atas alas Nabi saw. beliau pergi bertemu Nabi saw bagi minta baginda mengukuhkan Perjanjian Damai serta memanjangkan tempohnya. Nabi saw tidak berkata apa-apa kerana baginda telah mendapat perintah Allah agar pergi menyerang Makkah. Abu Sufyan pergi bertemu Abu Bakar Ash-Shiddeq, Umar Al-Khattab dan Ali bin Abu Thalib bagi meminta mereka membantunya memujuk Nabi saw tetapi mereka tidak dapat membantu. Ali beritahunya jika Nabi saw telah buat keputusan maka baginda tidak akan menukarnya. Setelah Abu Sufyan mendesak, akhirnya Ali menyuruh Abu Sufyan meminta pertolongan dari orang ramai. Abu Sufyan sedar yang beliau tiada pilihan lalu meminta orang Islam agar tidak melakukan peperangan dengan orang kafir Quraisy Makkah. Abu Sufyan pulang ke Makkah dengan rasa terhina lalu beritahu pemimpin Quraisy bahawa Nabi saw tidak beri keputusan tentang hal Perjanjian Damai itu. Mereka merasa marah dan terhina bila orang Islam terutama Ali mempermainkan Abu Sufyan. Mereka berbincang bagi selesaikan masalah membiarkan Ikrimah membantu bani Bakar menyerang bani Khuza’ah sedangkan ada Perjanjian Damai dengan Nabi saw. Mereka terkejut bila pasukan tentera Islam berada tidak jauh dari Makkah. Abu Sufyan yang diminta menyiasat kekuatan tentera Islam telah bertemu dengan Abbas bin Abdul Muthalib lalu beliau dibawa Abbas pergi ke markas tentera Islam. Tentera Islam membakar unggun api sebagai amaran bahawa mereka telah sedia berperang dan sebaiknya pemimpin Quraisy datang menyerah diri. Ketika Abu Sufyan melalui tempat di mana Umar Al-Khattab berada, Umar telah melihat Abu Sufyan lalu minta kebenaran Nabi saw bagi membunuh Abu Sufyan. Abbas beritahu Nabi saw bahawa beliau melindungi Abu Sufyan lalu Nabi saw minta Abbas bawa Abu Sufyan bertemu baginda pada awal esok hari. Ketika beliau bertemu Nabi saw, Nabi saw telah mengajak beliau memeluk Islam lalu beliau memeluk Islam bila tidak ada pilihan lain. beliau kemudiannya diajarkan cara mengambil wuduk dan melakukan solat. Nabi saw beri keistimewaan kepada Abu Sufyan kerana Abu Sufyan sukakan pujian dan suka dibesarkan hatinya. Baginda berkata bahawa sesiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan maka beliau akan selamat dan sesiapa yang menutup pintu atau berada di Masjidil Haram juga akan selamat. Abu Sufyan amat gembira dapat keistimewaan itu lalu segera pulang ke Makkah. beliau sedar bahawa tentera Quraisy tidak akan mampu melawan tentera Islam lalu meminta para pemimpin dan penduduk Makkah tunduk kepada agama Islam dan tidak melawan ketika tentera Islam masuk ke Makkah kelak. beliau mengatakan sesiapa yang masuk rumahnya, menutup pintu rumah mereka atau masuk ke Masjidil Haram akan selamat. Pemimpin dan penduduk Makkah mengikut saranan Abu Sufyan selaku ketua mereka. Mereka gerun melihat kegagahan tentera Islam dan tidak melawan bila tentera Islam masuk ke kota Makkah kecuali bani Bakar dan Ikrimah yang ingkar perintah Abu Sufyan. Mereka menyerang tentera Islam tapi segera dapat dikalahkan bila ketua mereka dan Ikrimah pergi melarikan diri. Abu Sufyan meyaksikan kehebatan Nabi saw dan tentera Islam dapat tundukkan Makkah dalam masa yang singkat dan melihat Nabi saw telah beri keampunan kepada semua penduduk Makkah termasuk para pemimpin Quraisy yang memusuhi baginda dan pengikut baginda. Semua berhala di dalam dan di luar Makkah telah dimusnahkan. Sesungguhnya Abu Sufyan sering melihat keajaipan yang Allah kurniakan untuk Nabi saw. Ketika itu beliau melihat berhala-berhala yang beliau pertahankan sekian lama sehingga ada pengikutnya mati, tiba-tiba jatuh berserakan bila Nabi saw hanya menunjuk tongkat baginda ke arah berhala-berhala tersebut. beliau sedar bahawa berhala itu tidak mampu berbuat apa-apa bila diri mereka sendiri pun tidak mampu mereka jaga. Oleh itu Abu Sufyan pulang ke rumah lalu memusnahkan berhala yang ada di rumahnya dengan tangannya sendiri dan berkata bahawa beliau telah tertipu dengan berhala tersebut. Abu Sufyan, isteri Abu Sufyan dan penduduk Makkah yang telah diampunkan oleh Nabi saw ini telah diperlakukan dengan baik oleh Nabi saw. Mereka tidak dijadikan orang tawanan perang dan harta mereka tidak dirampas sebagaimana kebiasaan yang berlaku kepada puak yang kalah pada zaman itu. Ramai penduduk Makkah termasuk isteri Abu Sufyan, Hindun, terpesona melihat tingkah laku Nabi saw lalu mereka beramai-ramai memeluk Islam. Mereka telah musnahkan berhala yang ada di rumah mereka dengan tangan mereka sendiri. Abu Sufyan dan pemimpin-pemimpin Quraisy yang memeluk Islam dibenarkan terus memimpin kota Makkah. Pada hari ke 15 selepas Nabi saw menawan kota Makkah, Abu Sufyan telah diberitahu bahawa tentera Hawazin telah bersiap sedia dan dalam perjalanan bagi menyerang mereka di Makkah. beliau segera menyiapkan tenteranya lalu memimpin tenteranya itu pergi bersama-sama tentera Islam yang diketuai oleh Nabi saw. Ketika berada di Hunain, selepas mereka menunaikan solat subuh dan hari masih gelap, mereka telah diserang secara mengejut oleh tentera Hawazin yang amat ramai bilangannya. Barisan tentera Islam menjadi kucar kacir bila ramai tentera Islam pergi melarikan diri menyebabkan mereka hampir kalah. Apabila tentera Islam yang melarikan diri balik semula ke tempat di mana Nabi saw berada dan ketika itu hari telah siang maka pertempuran hebat sehingga akhirnya tentera Hawazin tidak mampu melawan kekuatan tentera Islam. Ketua dan tentera Hawazin melarikan diri dengan meninggalkan semua keluarga, harta benda dan ternakan mereka yang banyak di situ. Walaupun tentera Islam termasuk Abu Sufyan dan tenteranya mengejar dan mengepung ketua tentera Hawazin yang mendapat perlindungan di kota Ta’if tetapi usaha mereka tidak berjaya bila pertahanan kota itu amat kuat. Ketika itu, Abu Sufyan yang turut berperang bersungguh-sungguh telah kehilangan sebelah matanya. Setelah sekian lama tentera Islam menunggu di luar kota Ta’if, Nabi saw telah memimpin tentera Islam balik ke tempat harta rampasan perang dan orang tawanan perang tentera Hawazin berada sebelum mereka pulang ke Makkah. Baginda telah membahagikan harta rampasan perang dan orang tawanan perang tentera Hawazin kepada semua tenteranya termasuk kepada Abu Sufyan dan pengikutnya. Apabila wakil tentera Hawazin datang mengatakan kesanggupan mereka memeluk agama Islam dan meminta harta dan keluarga mereka dipulangkan semula kepada mereka, maka pembahagian itu telah dirombak. Abu Sufyan dan pengikutnya merasa tidak puas hati bila bahagian mereka tinggal sedikit lalu Nabi saw telah memberi mereka yang baru memeluk Islam ini dengan bahagian yang lebih banyak berbanding dengan pengikut Nabi saw yang telah lama memeluk Islam. Ketika itu Abu Sufyan telah diberi 100 ekor unta. Bagi memuaskan hati pengikut lamanya yang merasakan Nabi saw tidak adil, Nabi saw telah memberi ucapan yang menyayat hati mereka sehingga mereka terharu dan sedar kesalahan mereka. Di kala itu mereka sedar betapa Nabi saw amat menyayangi mereka dan sanggup kembali ke Madinah bersama mereka sedangkan kota Makkah, tempat asal baginda, telah terbuka luas menerima kepulangan baginda. Abu Sufyan dan pemimpin-pemimpin Quraisy yang baru memeluk Islam terus memimpin kota Makkah setelah Nabi saw dan tentera Islam pulang ke Madinah kerana Nabi saw percayakan mereka. Mereka telah menjadi pengikut Nabi saw yang taat kepada perintah Allah dan tidak lagi menyembah berhala. Apabila masuk waktu solat fardu maka azan akan dilaung di Baitullah dan mereka akan mengerjakan solat berjemaah di sisi Baitullah. Mereka tidak lagi melarang orang Islam datang beribadah ke Baitullah sedangkan masih ada penyembah berhala turut datang beribadah dan berniaga di situ. Abu Sufyan telah menghantar surat kepada pengikutnya yang melarikan diri dari Makkah dan meminta mereka pergi bertemu dengan Nabi saw di Madinah bagi mendapat kemaafan dari baginda. beliau menyatakan betapa baiknya akhlak Nabi saw dan sempurnanya agama Islam yang dibawa sehingga beliau yakin bahawa Nabi saw pasti akan memaafkan mereka yang bersalah itu. Akibat dari ajakan Abu Sufyan itu maka ramai orang Quraisy yang buat salah kepada Nabi saw dan pengikut baginda termasuk Ikrimah, telah datang bertemu Nabi saw dan mendapat kemaafan dari baginda walau berat kesalahan yang telah mereka lakukan. Abu Sufyan amat setia kepada Nabi saw dan mengikut perintah baginda kerana kota Makkah berada di bawah pimpinan baginda. beliau melakukan setiap tugasan yang Nabi saw berikan kepadanya termasuklah memusnahkan patung sembahan penduduk Ta’if kerana beliau mempunyai hubungan baik dengan penduduk Ta’if. Apabila turun ayat perintah Allah yang melarang orang bukan Islam masuk ke Makkah pada tahun 631 Masehi, Abu Sufyan turut memainkan peranan penting membersihkan kota itu dari orang bukan Islam dan berhala seperti mana yang diperintahkan Allah. Kota Makkah menjadi kota Islam yang aman di bawah pemerintahan Abu Sufyan. beliau tidak lagi hidup bermewah-mewah dan berbangga diri. Apabila ajaran Islam meresap masuk ke hatinya maka beliau memilih untuk hidup serba sederhana dan merendah diri. Kebanyakan dari hartanya telah disumbangkan bagi mengembangkan agama Islam dan apabila Nabi saw dan pengikutnya menghadapi peperangan besar maka beliau dan pengikutnya akan turut serta menjadi tentera baginda. beliau dan pengikutnya mengikut ajaran Nabi saw dan tidak lagi melakukan amalan jahiliyah. Pada tahun 632 Masehi, Abu Sufyan menjadi amat sibuk menjelang musim haji memandangkan tahun itulah pertama kali kota Makkah menerima kedatangan tetamu beragama Islam sahaja dan Nabi saw bersama 100 ribu orang pengikutnya turut datang mengerjakan haji dan umrah. Mereka membuat khemah mereka di merata tempat di Makkah. Nabi saw, Abu Sufyan dan para pemimpin Islam yang lain menguruskan keperluan bagi para tetamu itu dengan sebaik mungkin. Pada hari Jumaat selepas Nabi saw memberi kutbah di Arafah, Nabi saw membacakan ayat Allah yang mengatakan bahawa Allah telah sempurnakan agama Islam dan Allah reda kepada agama Islam. Mendengarkan itu, pengikut Nabi saw termasuk Abu Sufyan merasa amat gembira tanpa menyedari dengan ayat itu maka akan berakhirlah tugas Nabi saw. Beberapa bulan selepas Nabi saw balik ke Madinah, Abu Sufyan mendapat berita bahawa Nabi saw telah jatuh sakit lalu meninggal dunia. Hal itu telah menyebabkan Abu Sufyan merasa amat sedih namun beliau tetap memberi perkhidmatannya kepada khalifah-khalifah yang memerintah kerajaan Islam yang diasaskan oleh Nabi saw. beliau pernah diarahkan memerintah di Najran dan akan pergi berperang sekiranya diarah pergi. Pada tahun 636 Masehi, beliau kehilangan sebelah matanya ketika berperang dalam Perang Yarmuk dan semenjak itu beliau menjadi buta lalu tinggal di Madinah. Pada tahun 650 Masehi, Abu Sufyan meninggal dunia di Madinah ketika beliau berusia 90 tahun. Khalifah Utsman bin Affan yang memerintah ketika itu telah mengimamkan solat jenazahnya lalu beliau dikebumikan di Perkuburan Baqi, berhampiran Masjid Nabi. Sesungguhnya ketika hidupnya, beliau sering ditemani oleh anaknya yang bernama Muawiyah bin Abu Sufyan. Anaknya ini sering mengikut beliau pergi ke mana sahaja termasuk ketika pergi berperang sama ada ketika mereka belum memeluk agama Islam ataupun setelah memeluk agama Islam. Dari keturunan anaknya inilah maka keturunan Abu Sufyan telah memerintah kerajaan Islam pada tahun 661 Masehi dan dinamakan kerajaan Islam bani Umayyah. 2.Abu Sufyan bin Al-Harits Abu Sufyan bin Al-Harits adalah orang Quraisy bani Hasyim dan bani Abdul Muthalib iaitu bani yang sama dengan Nabi saw. Bapanya bernama Harits bin Abdul Muthalib iaitu abang sulung kepada ayah Nabi saw, walaupun berbeza ibu. Oleh itu beliau adalah sepupu Nabi saw dan juga adik beradik susuan baginda bila beliau juga menyusu dari ibu susuan Nabi saw yang bernama Halimatul Sa’diah. Disebabkan mereka membesar di dalam keluarga yang sama dan usia mereka hampir sebaya maka hubungan mereka berdua rapat seperti sahabat baik. Setelah dewasa, Abu Sufyan telah bernikah dengan anak perempuan sepupunya yang bernama Jumanah binti Abu Thalib lalu mendapat anak lelaki yang dinamakan Jaafar. beliau juga bernikah dengan sepupunya yang lain bernama Ummu Amr binti Al-Muqawwim lalu mendapat anak perempuan yang dinamakan Atikah. Sebaik sahaja Nabi saw dilantik menjadi Utusan Allah, Nabi saw telah pergi mengajak kaum keluarganya yang dekat termasuk Abu Sufyan agar memeluk agama Islam dan tidak lagi menyembah berhala. Malangnya Abu Sufyan menolak ajakan baginda dan mula memusuhi baginda. beliau tidak seperti adik beradiknya yang bernama Naufal, Rabi'ah dan Abdullah, bila mereka segera memeluk Islam sebaik sahaja Nabi saw berdakwah kepada mereka. Dengan kepandaiannya mengarang sajak dan syair, beliau selalu mengganggu Nabi saw dan pengikutnya dengan membacakan syair-syair yang mengejek mereka. Abu Sufyan bukan sahaja mengganggu Nabi saw dan pengikutnya ketika mereka berada di Makkah tetapi juga ketika Nabi saw dan pengikutnya berpindah ke Madinah. beliau juga telah turut serta bersama tentera kafir Quraisy pergi menyerang Nabi saw dan pengikut baginda dalam perang-perang yang berlaku di antara orang kafir Quraisy dengan orang Islam. beliau telah melihat banyak perkara pelik sebagai bukti kebenaran agama Islam. Contohnya, dalam Perang Badar beliau melihat sepasukan tentera berpakaian putih dengan wajah cemerlang telah datang membantu tentera Islam dengan menunggang kuda yang kaki kuda mereka tidak menjejak tanah. beliau juga melihat kepala tentera kafir Quraisy tiba-tiba terputus tanpa ada sesiapa yang memotongnya. Malangnya beliau memilih untuk terus ingkar kepada Allah. Pada tahun ke 8 Hijrah, Allah memberi hidayah kepada Abu Sufyan agar memeluk Islam. beliau segera membawa isterinya, Jumanah, anaknya, Jaafar dan sepupunya, Abdullah bin Abu Umayyah, pergi ke Madinah bagi memeluk agama Islam dari Nabi saw. beliau tidak tahu bahawa ketika itu baginda sedang menuju ke Makkah bersama pasukan tentera Islam bagi membalas perbuatan pemimpin Quraisy Makkah yang telah mencabuli Perjanjian Damai yang mereka ada. Apabila beliau mendapat tahu bahawa baginda dan pasukannya berada di Marru Adz-Dzahran, beliau segera membawa rombongannya pergi ke sana bagi bertemu Nabi saw. Abu Sufyan merasa gentar melihat pasukan tentera Islam yang dipimpin oleh sepupunya itu amat ramai dan beliau merasakan bahawa tentera itu pasti boleh mengapa-apakan mereka. beliau dan Abdullah bernekad mahu bertemu Nabi saw tetapi Nabi saw tidak mahu bertemu mereka kerana baginda masih ingat lagi bahawa mereka berdua selalu menyakiti baginda ketika baginda berada di Makkah dahulu. Mereka merayu bersungguh-sungguh mahu bertemu baginda. Abu Sufyan dengan sedih mengatakan bahawa beliau dan anaknya tidak akan makan dan minum hingga mereka mati kelaparan jika tidak dapat bertemu Nabi saw bagi memeluk Islam. Melihatkan kesungguhan Abu Sufyan dan Abdullah nekad mahu bertemu Nabi saw maka isteri Nabi saw yang bernama Ummu Salamah, iaitu kakak kepada Abdullah, berusaha memujuk Nabi saw agar mahu bertemu mereka tetapi tidak berjaya. Akhirnya Ali bin Abu Thalib yang amat mengenali baginda telah mencadangkan kepada mereka agar mereka pergi bertemu Nabi saw lalu mengucap dua kalimah syahadah di hadapan baginda sebagai bukti bahawa mereka benar-benar mahu memeluk agama Islam dan berkata kepada baginda seperti mana saudara-saudara Nabi Yusuf as berkata ketika mereka bertemu dengan Nabi Yusuf as. Ali tahu bahawa hanya ayat Al-Quran sahaja dapat melembutkan hati Nabi saw. Abu Sufyan dan Abdullah mengikut sarankan Ali lalu membaca surah Yusuf, ayat 91 yang bermaksud : “Demi Allah, sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah.” Apabila Nabi saw melihat apa yang Abu Sufyan lakukan dan mendengarkan ayat Al-Quran yang dibacakan itu maka baginda menjawabnya melalui surah Yusuf, ayat 92 yang bermaksud : “Pada hari ini tidak ada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampuni (kamu) dan beliau adalah Maha Penyayang di antara para penyayang.” Mendengarkan apa yang Nabi saw katakan itu maka Abu Sufyan memperdengarkan syairnya menyatakan dirinya yang dulunya memusuhi Nabi saw telah diberi hidayah Allah. Apabila Nabi saw mendengar syair Abu Sufyan itu, baginda tersenyum lalu menepuk lembut dada Abu Sufyan sambil berkata bawa Abu Sufyan dulu telah mengusir baginda dari kota Makkah tempat kelahiran baginda dengan gigih melalui puisi-puisinya. Mendengarkan itu maka Abu Sufyan merasa amat malu kepada baginda namun beliau tetap meminta agar Nabi saw mengislamkannya. Lalu Nabi saw telah mengislamkannya bersama dengan keluarganya dan Abdullah. Setelah Abu Sufyan dan Abdullah memeluk Islam, Nabi saw menyuruh Ali mengajar mereka mengambil wuduk, melakukan solat dan cara ibadah yang lain. Semenjak itu Abu Sufyan telah menjadi pengikut Nabi saw yang baik tetapi beliau tetap malu menatap wajah Nabi saw dan hanya menundukkan kepalanya ketika bertemu baginda. beliau mengikut Nabi saw dan pasukan tentera Islam pergi dan masuk ke kota Makkah tanpa mendapat tentangan dari penduduknya bila Pemimpin Makkah perintahkan penduduk Makkah agar tidak menentang tentera Islam. Sejak kota Makkah diislamkan, Abu Sufyan turut melakukan ibadah bersama Nabi saw. Pada hari ke 15, setelah Nabi saw mendapat berita bahawa tentera Hawazin mahu menyerang Makkah maka baginda memimpin tentera Islam seramai 12 ribu orang pergi ke perkampungan orang Hawazin bagi mengempur mereka di sana. Turut serta dalam pasukan tentera Nabi saw adalah 2 ribu orang Quraisy Makkah yang baru memeluk Islam, termasuklah Abu Sufyan. Tiba di Hunain, mereka berhenti bagi bermalam dan meneruskan perjalanan selepas melakukan solat subuh berjemaah. Dalam gelap subuh, Nabi saw menunggang untanya dengan didahului dengan pasukan tentera berkuda dan di belakang baginda ada ramai tentera Islam yang mengikutnya. Ketika sampai di suatu lembah, tiba-tiba ribuan anak panah dilontarkan bertubi-tubi dari atas gunung oleh tentera Hawazin yang menunggu mereka di situ. Dalam serangan mengejut itu, ramai tentera Islam terbunuh dan tercerdera. Barisan tentera Islam menjadi kelam kabut. Mereka ketakutan lalu ramai di antara mereka telah pergi meninggalkan Nabi saw. Nabi saw telah ditinggalkan oleh pasukan tentera Islam dan hanya ditemani oleh beberapa orang sahabat dan kaum keluarga yang setia kepada baginda. Apabila tentera Hawazin beramai-ramai datang menyerbu, mereka berjuang bermati-matian bagi menyelamatkan Nabi saw dari dibunuh oleh tentera tersebut. Keadaan tentera Islam ketika itu amat genting sehingga menyebabkan semangat Nabi saw meningkat untuk turut sama bertempur tanpa mementingkan keselamatan diri baginda. Sebaik sahaja Nabi saw mahu memacu unta yang ditunggangnya mara ke hadapan, perjalanannya terhalang apabila ada seorang lelaki memegang tali untanya bagi menghalang unta tersebut terus bergerak. Lelaki tersebut memegang tali unta Nabi saw dan mempertahankan Nabi saw dari tentera musuh yang datang mahu membunuh baginda. beliau sanggup berkorban demi keselamatan diri Nabi saw. beliau terus menerus memegang tali unta baginda sehingga tentera Islam yang lari datang kembali ke situ dan bertempur dengan tentera Hawazin. Nabi saw tidak tahu siapa lelaki tersebut kerana lelaki itu terus menerus menundukkan kepala sehingga wajahnya tidak dapat dilihat oleh baginda. Apabila hari siang dan tentera Hawazin melarikan diri kerana tidak sanggup menentang kekuatan tentera Islam, barulah keadaan kembali tenang. Ketika itu barulah Nabi saw dapat melihat bahawa lelaki yang memegang tali untanya itu adalah Abu Sufyan bin Al-Harits, sepupunya yang baru memeluk Islam. Sesungguhnya Abu Sufyan ini amat sayangkan Nabi saw dan beliau amat khuatir sekiranya sepupunya itu disakiti atau dibunuh oleh tentera musuh. Perasaan Abu Sufyan tiba-tiba menjadi amat gembira dan bahagia bila ketika itu Nabi saw telah memanggilnya dengan panggilan ‘Saudara ku’. Air matanya mengalir bercucuran kerana beliau rasa terharu dan dapat rasakan yang Nabi saw masih sayang padanya walaupun dulu beliau pernah sakiti baginda. beliau merasa lebih bersemangat untuk berjuang bersama Nabi saw. Abu Sufyan kemudiannya telah mengikut Nabi saw dan tentera Islam pergi ke Ta’if bagi mengejar Ketua tentera Hawazin yang melarikan diri dan mendapat perlindungan dari penduduk Ta’if. beliau turut berperang di Ta’if dan balik ke Makkah apabila Nabi saw memimpin tenteranya pulang ke sana. Apabila Nabi saw pulang ke Madinah bersama dengan tentera Islam yang datang bersama baginda, Abu Sufyan telah memilih untuk pergi dan tinggal bersama baginda di Madinah. Di Madinah, Abu Sufyan mengabdikan dirinya membantu Nabi saw mengembangkan agama Islam dan mempertahankan orang Islam dari musuh-musuh Islam. Semenjak memeluk Islam, Abu Sufyan telah bersungguh-sungguh melakukan ibadah kerana mahu menebus masa-masa yang beliau tinggalkan selama 20 tahun dahulu. Walaupun beliau telah menjadi pengikut Nabi saw yang baik dan telah meninggalkan cara hidup yang suka bermewah-mewah tetapi beliau tetap malu memandang baginda sehingga menyebabkan beliau sentiasa menundukkan kepalanya ketika bertemu baginda. Nabi saw yang amat sayangkan Abu Sufyan dan berharap agar Abu Sufyan akan menjadi pengganti Hamzah bin Abdul Muthalib. Baginda mempersaksikannya bahawa beliau akan masuk syurga dan menjadi Ketua Pemuda di Syurga. Kegembiraan Abu Sufyan hidup bersama Nabi saw tidak lama bila Nabi saw jatuh sakit lalu wafat pada tahun ke 11 Hijrah. Abu Sufyan merasa amat sedih seperti mahu mati bagi menyusul baginda bila baginda itulah manusia yang paling beliau sayang. Pada tahun ke 14 Hijrah, Abu Sufyan telah mengali sebuah kubur dan mengatakan bahawa kubur itu untuk dirinya sekiranya ada orang bertanya kubur itu untuk siapa. Selepas 3 hari siap mengali kubur, Abu Sufyan tiba-tiba jatuh sakit sehingga menyebabkan ahli keluarganya menangis kesedihan. Abu Sufyan memujuk keluarganya agar tidak menangis dan memberitahu mereka bahawa beliau tidak melakukan dosa semenjak beliau memeluk Islam. Abu Sufyan akhirnya meninggal dunia dan kewafatannya telah ditangisi oleh ramai orang termasuk Khalifah ketika itu iaitu Saidina Umar Al-Khattab memandangkan Abu Sufyan adalah sahabat dan sepupu yang sangat disayangi Nabi saw. Jenazah Abu Sufyan kemudiannya telah disolatkan dengan diimamkan oleh Saidina Umar Al-Khattab. Keluarganya telah mengkebumikan jasadnya ke dalam kubur yang telah beliau sendiri gali. KESIMPULAN Sebahagian besar nama Abu Sufyan yang disebut dalam sirah Nabi saw adalah Abu Sufyan bin Harb memandangkan beliau banyak memainkan peranan sebagai Ketua Pemimpin Quraisy. Semasa awal Nabi saw dilantik menjadi Utusan Allah, beliau membantah Nabi saw sehingga mahu membunuh Nabi saw kerana amat taat kepada berhala sembahannya. Apabila Allah memberi beliau hidayah dan memeluk Islam, beliau menjadi pengikut Nabi saw yang amat setia sehingga menjadi sahabat Nabi saw. Nama Abu Sufyan bin Al-Harits tidak banyak disebut di dalam sirah Nabi saw di mana kebanyakan kisahnya diceritakan ketika beliau mendapat hidayah Allah lalu memeluk agama Islam dari Nabi saw sejurus sebelum Nabi saw menawan kota Makkah. Di awal Nabi saw dilantik menjadi Utusan Allah, beliau amat memusuhi Nabi saw dan sering mengejek Nabi saw dengan puisi-puisinya. Setelah memeluk Islam, beliau sanggup berkorban demi Nabi saw ketika Perang Hunain dan mengikut baginda balik ke Madinah bagi membantu baginda mengembangkan agama Islam.

Friday, September 23, 2016

Dato. Dr Haron Din Dalam Kenangan



Jumaat 16, september 2016.... Malaysia gempar dengan berita perginya seorang ulamak Islam yang disegani...

Dato Dr Haron Din.... Nama itu selalu dikaitan bila ada pesakit yang mengalami masalah kesihatan baik rohani mahupun jasmani... seperti tiada tempat lain mahu dirujuk kalau hospital tak mampu nak beri ubat penyakit....


Kini beliau telah pergi dipanggil Illahi.... masih ingat lagi beliau telah mengubat orang sejak lebih dari 30 tahun dahulu... orang yang terkena kanser seolah terhibur bila beliau mengubat mereka.... orang yang sakit lain-lain.. usah cerita... macam-macam penyakit ada... Yang menagih dadah pun ada.. yang kena sampuk jin pun ada... yang kena santau pun ada.. yang ada saka pun ada... yang sakit otak pun ada.. yang sakit kulit pun ada yang jumpa beliau.... tapi beliau tak pernah mengeluh apa lagi marah... dengan tenang beliau doakan pesakit-pesakit tu... Punyalah ramai yang datang bertemu beliau untuk berubat sampai beliau tak menang tangan... disebabkan itu dengan rela hati beliau mengajar orang yang berminat bagi membantu pesakit-pesakit yang semakin hari semakin bertambah-tambah...

Kini beliau tiada lagi... pesakit yang masih berubat dengan beliau mungkin sedih bila yang mendoakan kesembuhan mereka telah tiada lagi... Ya.. menang ada anak murid beliau yang boleh melakukannya... tapi rindu kepada beliau bolehkah diubati?

Kini beliau hanya diingati....  tidak dapat ditemui lagi... beliau bukan sahaja terkenal dalam bidang perubatan, malahan politik, ilmu pengetahuan dan macam-macam lagi... disebabkan itu maka namanya ada sahaja disebut di mana-mana...

Beliau seumpama permata di lautan dalam... yang mencari insyaAllah akan berjumpa dengan sinar cahaya yang tersembunyi... terima kasih Allah kerana meminjamkan manusia hebat seperti beliau... dapat bersama dengan beliau sahaja cukup menenangkan belum lagi kalau dapat bersama dengan kekasih Allah yang Utama... Semoga kita akan bersama dengan mereka kelak di sana... semoga kita sama-sama mereka ketika melihat Dia yang memiliki diri... Aaaminnn....  

Al-Fatihah untuk Dr Haron Din... semoga beliau telah bertemu dengan bahagia.... Aaaammiinnn...





Friday, September 16, 2016

Tanah Tua Yang Tersimpannya Berjuta-juta Rahsia....



Alhamdulillah... selesai sudah musim haji tahun ini... Di Tanah Haram yang amat tua usianya itu, maka umat manusia dari segenap pelusuk dunia telah datang bagi menyahut seruanNya... mereka datang dan pergi setiap tahun bermula dari sejak bila?


Setiap tahun berbagai kisah dan ragam manusia yang datang ke tanah tua... namun mereka datang dengan satu urusan... iaitu bagi mengagungkan Allah... Tuhan sekalian alam...


Di tanah tua itu letaknya rumah yang paling tua... rumah yang dibina untuk mengabdikan diri dan beribadah untuk Allah...


Namun tidak ramai yang tahu betapa banyak tanah tua menjadi saksi dan menyimpan banyak rahsia yang sekian lama tersembunyi...


Tidak ramai yang mengali... bukan mengali tanah tua.. tapi mengali ilmu tentang tanah tua... jika mereka mengali pasti mereka ketemu dengan khazanah ilmu yang amat bernilai dan berguna bukan sahaja untuk diri malah untuk sejagat jua...


Tanah tua menjadi saksi para Nabi dan Rasul datang kepadanya... yang pastinya Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as membina semula Rumah Ibadah yang paling tua usianya....


Lalu tanah tua didatangi oleh para rasul dan umat mereka... namun kisah itu tidak dicanangkan... jadilah ia satu kisah yang tersembunyi bagi mereka yang dengki dan iri hati kepada keturunan Nabi Ismail as.


Telah datang Utusan Allah bagi menamatkan kisah para Rasul ke tanah tua... dilahirkan di tanah tua tetapi meninggal dunia di tanah di mana nenek moyangnya terbuang....


Ajaran Islam kembali disambung sehingga selamat disempurnakan oleh Allah di hari haji, di tanah tua... hari sepatutnya umat Islam bergembira dengan sepenuh hati...


Kini setelah berabad berlalu... namun tanah tua tetap didatangi... Semoga kita beroleh berkat Allah di tanah tua... tanah tua yang penuh misteri... Syukur Alhamdulillah...



Sunday, April 24, 2016

Seburut (Thottea grandiflora Rottb.), yang kian pupus ditelan zaman


Bagi kita yang duduk di Malaysia, jika kita pergi ke hutan-hutan kita pada masa dahulu maka kita akan jumpa pokok Seburut atau Hempedu Beruang ini dengan banyaknya. Kini ia semakin lama semakin sukar didapati dan kawasaan kedapatannya juga telah semakin mengecil. Ramai yang tidak tahu bahawa Seburut ini adalah warisan tanah air kita yang perlu kita jaga dan tidak boleh kita musnahkan. Sesungguhnya pada masa dulu nenek moyang kita pernah menggunakannya sebagai ubat herba mereka. Maka mengapa tidak kita perjuangkan agar ia terus banyak tumbuh melata?

Berikut saya kongsikan serba sedikit tentang maklumat Seburut yang patut kita lindungi dan kita jaga.

Nama Botani : Thottea grandiflora Rottb.

Nama Tempatan : Seburut (M), Hempedu Beruang (M), Kuburut (M), Semubut (M),  sel-wohl (M), Seperuit (M), Gereboh (M), Telinga Kelawar (M), Tampunek Gajah (M), Seperuit (M), Daun Lanjut (M), Purple Thottea (Ing)

Keluarga : Aristolochiaceae

Asal : Semenanjung Malaysia, Myanmar, Singapura.

Kedapatan : Sesuai hidup di hutan hujan tropika. Tumbuh meliar di hutan tanah pamah hingga ke hutan bukit sehingga ketinggian 600 m dari paras laut.  Di Malaysia, paling banyak didapati di bahagian selatan Semenanjung Malaysia.  Memerlukan naungan dan keadaan yang lembap.

Ciri : Renek yang kebiasaannya tumbuh setinggi 1 m dan kadang kala boleh setinggi 3 m.  Tumbuh berumpun dan mempunyai batang bawah tanah yang bercabang dan menghasilkan batang yang tumbuh tegak lurus yang jarang-jarang bercabang kecuali sekiranya patah atau cedera.  Daun tunggal berbentuk lonjong atau bujur telur, berukuran 15-30 cm panjang, 9-20 cm lebar, permukaan atas kasar, permukaan bawah berbulu, liat.  Bunga dalam jambak bunga yang keluar berjuntai sepanjang 5-12.5 cm, berwarna putih atau ungu kemerah-merahan, urat berjalin jelas kelihatan, berbulu, berbunga sepanjang tahun.  Buah jenis kapsul berbentuk tirus, 10-15 cm panjang.

Khasiat Ubatan :
• Batang berkayu - Merawat kencing manis, rawatan selepas bersalin, demam panas, demam teruk, berak berdarah.
• Rizom (batang dalam tanah), akar, pangkal pokok - Sebagai tonik bagi ibu selepas bersalin, merawat batuk kering, demam panas, demam malaria, disenteri.  

Cara Penggunaan :
• Kencing manis, rawatan selepas bersalin, demam panas, demam teruk, berak berdarah - Batang berkayu Seburut direbus di dalam 3 gelas air dan dibiarkan mendidih sehingga airnya tinggal segelas.  Setelah sejuk, tapis lalu diminum 2 kali sehari iaitu pada pagi dan petang.
• Rawatan ibu selepas bersalin,  batuk kering, demam panas, demam malaria, disenteri, berak berdarah - Rizom, akar dan pangkal pokok Seburut direbus sehingga airnya tinggal setengah.  Setelah sejuk, tapis lalu diminum.  

Rujukan :
Tumbuhan Ubatan Liar Di Sekeliling Anda. Terbitan : Ar Risalah.



Saturday, April 23, 2016

JAMBU BATU (PSIDIUM GUAJAVA LINN.) DIGALAKAN DITANAM DI RUMAH-RUMAH



NAMA LAIN : Jambu Batu (Melayu), Jambu Biji (Melayu), Jambu Kletuk (Indonesia), Guava (Inggeris), Fan Shi Liu Gan (China), Jamphal (India), Jamrukh (India), Guajave (Pakistan)
NAMA BOTANI Psidium guajava Linn.
NAMA SINONIM : -
KELUARGA : Myrtaceae

TABURAN
Berasal dari Amerika Tropika. Kini boleh didapati di negara beriklim tropika dan sub tropika. Sesuai tumbuh di kawasan terdedah kepada cahaya matahari. Ditanam bagi mendapatkan buahnya sama ada ditanam di dalam pasu atau ditanam di atas tanah. samaada di perkarangan rumah/bangunan, di pinggiran jalan atau di taman-taman. Boleh didapati tumbuh pada ketinggian 1-1,200 m dari aras laut.

KETERANGAN TANAMAN
Pokok kecil setinggi 2-10 m, percabangan banyak.  Batang berkayu keras, kulit batang licin mengelupas, berwarna cokelat kehijauan.  Daun jenis tunggal, susunan bertentangan, bertangkai pendek, terletak berhadapan, daun muda berbulu halus, permukaan atas daun tua licin.  Helaian daun berbentuk gujur memanjang, saiz 6-14 cm panjang, 3-6 cm lebar, berwarna hijau.  Bunga jenis tunggal atau keluar 2 kuntum, bertangkai, keluar dari ketiak daun, berwarna putih, lebar 3-3.5 cm, banyak stamen.  Buah jenis beri, bulat, seperti pir atau bujur, bersaiz sederhana besar, hujung buah ada kelopak kalis yang kekal, berwarna hijau ketika muda dan bertukar kekuning apabila matang.  Isi buah tebal, rasanya sedap iaitu manis kemasaman, berwarna kuning atau kemerahan, mempunyai banyak biji.  Biji kecil, bulat, keras, terkumpul di bahagian tengah buah.  

KANDUNGAN KIMIA
  • Daun - Mengandungi eugenol, minyak lemak, damar, 9-10% tanin, beta-sitosterol, asid maslinik, asid guaijavolik, minyak esen selinen, kariofilen oksida, triterpenoid seperti asid oleanolik, asid ursolik, asid krategolik, asid guaijavolik.  
  • Bunga - Mengandungi tanin.  
  • Akar - Mengandungi banyak tanin.  
  • Buah - Mengandungi asid amino (tritofan, lisin), pektin, kalsium, fosfor, besi, mangan, magnesium, belerang dan Vitamin (A, B1 dan C).  Ketika matang, kandungan vitamin C mencapai 3-6 kali ganda lebih tinggi dari kandungan limau. Banyak serat yang larut air terutama di bahagian kulitnya sehingga dapat mengganggu penyerapan glukosa dan lemak yang berasal dari makanan dan membuangnya ke luar tubuh..

PENYAKIT YANG DIUBATI
  • Akar - Merawat cirit-birit, mengelak mata rabun, tulang rapuh, gigi rapuh, seriawan.  
  • Batang - Merawat cirit-birit, sakit usus besar, sakit perut, seriawan, perut buncit. 
  • Buah - Merawat Kencing manis, kolestrol darah tinggi, sembelit, sesak nafas, diabetes, disenteri, penyakit paru-paru, sakit dada, sebagai tonik badan, kegemukan, pencegah penyakit. 
  • Bunga - Merawat cirit-birit, disenteri, radang selaput lendir perut serta usus.  
  • Daun - Merawat sakit perut, keputihan,  buang air berlendir, kolestrol darah tinggi, haid tidak lancar, sering buang air kecil, sering buang air besar, luka berdarah, pecah mulut.
  • Seluruh bahagian - Merawat sakit perut memulas (diare).

CARA PENGGUNAAN UMUM
· Ubat Minum - Daun, batang, akar atau bunga direbus lalu diminum airnya.
· Untuk Pemakaian Luar - Daun dan bunga ditumbuk lumat lalu diletakkan pada bahagian yang sakit.

CONTOH PENGGUNAAN KHUSUS
  • Ulser, kurap - Daun Jambu Batu dikeringkan, ditumbuk lumat menjadi serbuk, lalu disapukan pada bahagian yang berpenyakit.
  • Sakit perut, cirit-birit, perut kembung pada bayi,anak kecil, kolestrol darah tinggi, haid tidak lancar, sering buang air kecil, luka berdarah, pecah mulut, bengkak perut serta usus, selsema - Daun Jambu Batu direbus sehingga mendidih.  Setelah sejuk, tapis lalu diminum. 
  • Penghadaman tidak lancar, kolestrol darah tinggi,  cirit-birit (diarrhoea) - Akar dan kulit batang Jambu Batu direbus dengan 3 gelas air dan dibiarkan mendidih sehingga airnya tinggal 1 gelas.  Setelah sejuk, tapis lalu diminum setiap 3 jam.  
     LAIN-LAIN KEGUNAAN 
  • Buah (masak) - dimakan segar atau dibuat jus, manisan, jem, kordial, kek, pai, sup, ditinkan disalai atau dibuat serbuk.  
  • Daun - Dikeringkan, dimasukkan ke dalam air panas lalu diminum seperti teh.  Direbus dalam masakan tertentu bagi mengurangkan atau menghilangkan rasa pahit sesuatu jenis sayuran.   
  • Batang - Kayunya sederhana kuat, tahan dalam pembinaan bangunan dan boleh dibuat perkakas kecil umpamanya hulu keris.

NOTA TAMBAHAN :
  • Zat flavonoid dari daun jambu batu dapat melambatkan pergandaan virus yang menyebabkan penyakit AIDS iaitu 'human immunodeficiency virus (HIV) di mana ia menghambat pengeluaran enzim 'reversed transcriptase' yang dapat mengubah RNA virus menjadi DNA di dalam tubuh manusia. 
  • Untuk perubatan sebaiknya gunakan spesis yang berwarna merah.

SUMBER RUJUKAN : Tanaman Makanan Ubatan Di Sekeliling Anda. Terbitan Ar-Risalah.


Friday, April 22, 2016

Kegunaan Tumbuhan



Bila kita pandang keliling kita, kita pasti akan melihat ada tumbuhan di sekeliling kita baik yang kita tanam mahupun yang tumbuh sendiri. Ada yang tahu namanya dan ada yang kita tak tahu namanya. Pada masa dahulu, tumbuhan amat dekat dengan manusia bila mereka bukan sahaja tahu nama tumbuhan tersebut namun mereka juga tahu kegunaan tumbuhan tersebut. Malangnya disebabkan kemodenan hidup yang kita lalui maka amalan menggunakan tumbuhan yang ada sekeliling kita semakin terhakis. Kita cuma biasa makan tumbuhan yang biasa kita lihat orang makan, kita biasa tanam tumbuhan yang biasa kita lihat orang tanam dan kita biasa gunakan tumbuhan yang orang biasa gunakan.

Sebenarnya semua tumbuhan yang ada di sekeliling kita ada kegunaannya kerana Allah menjadi setiap makhluknya ada gunanya. Oleh itu setiap bahagian tumbuhan ada gunanya di antaranya sebagai bahan makanan, hiasan, rempah ratus, bauan, ubatan, kraf tangan, peralatan, binaan berat, binaan ringan, perabut, kenderaan, hiasan dan banyak lagi. Andai kita ada ilmu tentang tumbuh-tumbuhan itu maka kita boleh sahaja menggunakan tumbuh-tumbuhan yang ada di sekeliling kita baik tumbuhan itu kita tanam mahupun yang tumbuh meliar.

Sebagai contohnya :

Untuk bauan - bunga mawar, bunga melur, buah pala, serai wangi, limau purut, kayu manis, jintan manis, ketumber, daun pandan.

Untuk makanan - Buah-buahan, sayur-sayuran, ulaman.

Perasa - Pandan, durian, limau nipis, asam jawa.

Rempah ratus -  Jintan manis, cengkih, ketumber, buah pelaga, kayu manis.

Ubatan - Tongkat Ali, Mahkota Dewa, Kacip Fatimah, Belalai Gajah, Mengkudu.

Ulaman - Pegaga, Ulam Raja, Terung Pipit, Timun, jering, petai, kerdas.

Barang berguna - Rotan, mempalas, palas, kelapa

Alat muzik - Pulai

Racun - Tuba

Peralatan, binaan, perabut, kenderaan - Dari batang pokok-pokok berkayu umpana pokok meranti, merbau, berlian, tembusu.

Bunga keratan - bunga ros, orkid, tulip.

Pokok hiasan  - pokok bungaan, palma, cycade.

Penutup Bumi/penghalang hakisan - Rumput.

Pokok ekologikal - Mata pelanduk, gunchak.

Pokok dalam air - banat, teratai, sakura air, tangki, jerangau.


Ini hanya sebahagian contohnya sedangkan banyak lagi kegunaan tumbuhan yang boleh disebut. Jika ada kesempatan insyaAllah saya kongsikan secara lebih terperinci untuk setiap tumbuhan....

Terima Kasih Allah kerana jadikan tumbuh-tumbuhan bagi kegunaan kami...







Monday, March 26, 2012

“Pucuk Dicita, Ulam Mendatang”

Pucuk Tujuh Jarum ini sesuai untuk pesakit kanser


Pepatah Melayu di atas sering diucapkan apabila kita mahu menunjukkan perasaan gembira apabila mengharapkan menerima sesuatu yang disukai tetapi menerima sesuatu yang lebih baik dan lebih bermakna. Dengan adanya ungkapan ini menunjukkan betapa pentingnya pucuk dan ulam dalam kehidupan orang Melayu pada suatu masa dahulu. Tapi apakah pucuk dan ulam itu berbeza?


Seperti ramai yang tahu, ulam telah lama berada dalam hidangan orang Melayu di Nusantara ini, baik di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Berunai. Ia agak rapat dengan orang Melayu tetapi akibat adanya pergaulan di antara bangsa-bangsa maka ulam ini juga semakin digemari oleh pelbagai bangsa terutama mereka berbangsa Cina dan India.


Siapa sangka ulam yang dahulunya menjadi santapan di kampung-kampung kini menjadi menu di bandar-bandar bila ada hotel, kedai makanan, majlis keramaian dan rumah kediaman menyajikannya. Ulam bukan lagi dipandang sebagai sayuran murahan yang hidup melata di tepi-tepi rumah, parit, sungai, kebun, belukar serta hutan apabila pokoknya semakin banyak ditanam di laman-laman rumah dan ada yang mengkormersialkannya.


Pelbagai ulam telah dihidangkan baik yang biasa dijumpai mahupun yang sukar dijumpai. Baik yang mentah mahupun yang dicelur, distem atau direbus. Ianya boleh terdiri dari bahagian yang tertentu dari tumbuhan tersebut atau keseluruhan bahagiannya.


Dunia semakin memandang ulam apabila semakin ramai sedar perlunya menyediakan dan mengambil banyak serat tumbuhan dalam makanan mereka. Ia semakin digemari apabila manusia semakin menyedari bertapa pentingnya mengambil sayur dalam diet makanan seharian terutama sayur yang belum masak iaitu ulam memandangkan dia mengandungi banyak nutrien dan amat berkhasiat.


Memakan ulam yang mentah atau dicelur menyebabkan satu perasaan yang menyeronokkan kepada mereka yang memakannya. Kebanyakkan ulam mengandungi khasiat menambah selera makan terutama bagi mereka yang kurang selera makan. Seseorang yang berpenyakit juga akan mengambil ulam sebagai herba ubatan yang dimakan bagi penyembuhan penyakitnya.


Memandangkan setiap ulam mempunyai khasiatnya yang tersendiri maka sebaiknya setiap mereka yang memakannya mengambil berat akan hal ini agar ulam yang dimakan sesuai dengan mereka. Sesungguhnya mereka juga perlu mengelakkan sekiranya ada ulam yang tidak sesuai bagi dirinya.


Dapatkan cerita selanjutnya dalam buku terbaru saya "Ulaman Di Sekeliling Anda". Ditampilkan lebih 100 jenis ulaman yang ada di sekeliling kita.