NAMA LAIN : Jambu Batu (Melayu), Jambu Biji (Melayu), Jambu Kletuk (Indonesia), Guava (Inggeris), Fan Shi Liu Gan (China), Jamphal (India), Jamrukh (India), Guajave (Pakistan)
NAMA BOTANI : Psidium guajava Linn.
NAMA SINONIM : -
KELUARGA : Myrtaceae
TABURAN
Berasal dari Amerika Tropika. Kini boleh didapati di negara beriklim tropika dan sub tropika. Sesuai tumbuh di kawasan terdedah kepada cahaya matahari. Ditanam bagi mendapatkan buahnya sama ada ditanam di dalam pasu atau ditanam di atas tanah. samaada di perkarangan rumah/bangunan, di pinggiran jalan atau di taman-taman. Boleh didapati tumbuh pada ketinggian 1-1,200 m dari aras laut.
KETERANGAN TANAMAN
Pokok kecil setinggi 2-10 m, percabangan banyak. Batang berkayu keras, kulit batang licin mengelupas, berwarna cokelat kehijauan. Daun jenis tunggal, susunan bertentangan, bertangkai pendek, terletak berhadapan, daun muda berbulu halus, permukaan atas daun tua licin. Helaian daun berbentuk gujur memanjang, saiz 6-14 cm panjang, 3-6 cm lebar, berwarna hijau. Bunga jenis tunggal atau keluar 2 kuntum, bertangkai, keluar dari ketiak daun, berwarna putih, lebar 3-3.5 cm, banyak stamen. Buah jenis beri, bulat, seperti pir atau bujur, bersaiz sederhana besar, hujung buah ada kelopak kalis yang kekal, berwarna hijau ketika muda dan bertukar kekuning apabila matang. Isi buah tebal, rasanya sedap iaitu manis kemasaman, berwarna kuning atau kemerahan, mempunyai banyak biji. Biji kecil, bulat, keras, terkumpul di bahagian tengah buah.
KANDUNGAN KIMIA
- Daun - Mengandungi eugenol, minyak lemak, damar, 9-10% tanin, beta-sitosterol, asid maslinik, asid guaijavolik, minyak esen selinen, kariofilen oksida, triterpenoid seperti asid oleanolik, asid ursolik, asid krategolik, asid guaijavolik.
- Bunga - Mengandungi tanin.
- Akar - Mengandungi banyak tanin.
- Buah - Mengandungi asid amino (tritofan, lisin), pektin, kalsium, fosfor, besi, mangan, magnesium, belerang dan Vitamin (A, B1 dan C). Ketika matang, kandungan vitamin C mencapai 3-6 kali ganda lebih tinggi dari kandungan limau. Banyak serat yang larut air terutama di bahagian kulitnya sehingga dapat mengganggu penyerapan glukosa dan lemak yang berasal dari makanan dan membuangnya ke luar tubuh..
PENYAKIT YANG DIUBATI
- Akar - Merawat cirit-birit, mengelak mata rabun, tulang rapuh, gigi rapuh, seriawan.
- Batang - Merawat cirit-birit, sakit usus besar, sakit perut, seriawan, perut buncit.
- Buah - Merawat Kencing manis, kolestrol darah tinggi, sembelit, sesak nafas, diabetes, disenteri, penyakit paru-paru, sakit dada, sebagai tonik badan, kegemukan, pencegah penyakit.
- Bunga - Merawat cirit-birit, disenteri, radang selaput lendir perut serta usus.
- Daun - Merawat sakit perut, keputihan, buang air berlendir, kolestrol darah tinggi, haid tidak lancar, sering buang air kecil, sering buang air besar, luka berdarah, pecah mulut.
- Seluruh bahagian - Merawat sakit perut memulas (diare).
CARA PENGGUNAAN UMUM
· Untuk Pemakaian Luar - Daun dan bunga ditumbuk lumat lalu diletakkan pada bahagian yang sakit.
CONTOH PENGGUNAAN KHUSUS
- Ulser, kurap - Daun Jambu Batu dikeringkan, ditumbuk lumat menjadi serbuk, lalu disapukan pada bahagian yang berpenyakit.
- Sakit perut, cirit-birit, perut kembung pada bayi,anak kecil, kolestrol darah tinggi, haid tidak lancar, sering buang air kecil, luka berdarah, pecah mulut, bengkak perut serta usus, selsema - Daun Jambu Batu direbus sehingga mendidih. Setelah sejuk, tapis lalu diminum.
- Penghadaman tidak lancar, kolestrol darah tinggi, cirit-birit (diarrhoea) - Akar dan kulit batang Jambu Batu direbus dengan 3 gelas air dan dibiarkan mendidih sehingga airnya tinggal 1 gelas. Setelah sejuk, tapis lalu diminum setiap 3 jam.
LAIN-LAIN KEGUNAAN
- Buah (masak) - dimakan segar atau dibuat jus, manisan, jem, kordial, kek, pai, sup, ditinkan disalai atau dibuat serbuk.
- Daun - Dikeringkan, dimasukkan ke dalam air panas lalu diminum seperti teh. Direbus dalam masakan tertentu bagi mengurangkan atau menghilangkan rasa pahit sesuatu jenis sayuran.
- Batang - Kayunya sederhana kuat, tahan dalam pembinaan bangunan dan boleh dibuat perkakas kecil umpamanya hulu keris.
NOTA TAMBAHAN :
- Zat flavonoid dari daun jambu batu dapat melambatkan pergandaan virus yang menyebabkan penyakit AIDS iaitu 'human immunodeficiency virus (HIV) di mana ia menghambat pengeluaran enzim 'reversed transcriptase' yang dapat mengubah RNA virus menjadi DNA di dalam tubuh manusia.
- Untuk perubatan sebaiknya gunakan spesis yang berwarna merah.
SUMBER RUJUKAN : Tanaman Makanan Ubatan Di Sekeliling Anda. Terbitan Ar-Risalah.

No comments:
Post a Comment