Search This Blog

Monday, March 26, 2012

“Pucuk Dicita, Ulam Mendatang”

Pucuk Tujuh Jarum ini sesuai untuk pesakit kanser


Pepatah Melayu di atas sering diucapkan apabila kita mahu menunjukkan perasaan gembira apabila mengharapkan menerima sesuatu yang disukai tetapi menerima sesuatu yang lebih baik dan lebih bermakna. Dengan adanya ungkapan ini menunjukkan betapa pentingnya pucuk dan ulam dalam kehidupan orang Melayu pada suatu masa dahulu. Tapi apakah pucuk dan ulam itu berbeza?


Seperti ramai yang tahu, ulam telah lama berada dalam hidangan orang Melayu di Nusantara ini, baik di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Berunai. Ia agak rapat dengan orang Melayu tetapi akibat adanya pergaulan di antara bangsa-bangsa maka ulam ini juga semakin digemari oleh pelbagai bangsa terutama mereka berbangsa Cina dan India.


Siapa sangka ulam yang dahulunya menjadi santapan di kampung-kampung kini menjadi menu di bandar-bandar bila ada hotel, kedai makanan, majlis keramaian dan rumah kediaman menyajikannya. Ulam bukan lagi dipandang sebagai sayuran murahan yang hidup melata di tepi-tepi rumah, parit, sungai, kebun, belukar serta hutan apabila pokoknya semakin banyak ditanam di laman-laman rumah dan ada yang mengkormersialkannya.


Pelbagai ulam telah dihidangkan baik yang biasa dijumpai mahupun yang sukar dijumpai. Baik yang mentah mahupun yang dicelur, distem atau direbus. Ianya boleh terdiri dari bahagian yang tertentu dari tumbuhan tersebut atau keseluruhan bahagiannya.


Dunia semakin memandang ulam apabila semakin ramai sedar perlunya menyediakan dan mengambil banyak serat tumbuhan dalam makanan mereka. Ia semakin digemari apabila manusia semakin menyedari bertapa pentingnya mengambil sayur dalam diet makanan seharian terutama sayur yang belum masak iaitu ulam memandangkan dia mengandungi banyak nutrien dan amat berkhasiat.


Memakan ulam yang mentah atau dicelur menyebabkan satu perasaan yang menyeronokkan kepada mereka yang memakannya. Kebanyakkan ulam mengandungi khasiat menambah selera makan terutama bagi mereka yang kurang selera makan. Seseorang yang berpenyakit juga akan mengambil ulam sebagai herba ubatan yang dimakan bagi penyembuhan penyakitnya.


Memandangkan setiap ulam mempunyai khasiatnya yang tersendiri maka sebaiknya setiap mereka yang memakannya mengambil berat akan hal ini agar ulam yang dimakan sesuai dengan mereka. Sesungguhnya mereka juga perlu mengelakkan sekiranya ada ulam yang tidak sesuai bagi dirinya.


Dapatkan cerita selanjutnya dalam buku terbaru saya "Ulaman Di Sekeliling Anda". Ditampilkan lebih 100 jenis ulaman yang ada di sekeliling kita.

No comments:

Post a Comment