Search This Blog

Sunday, April 24, 2016

Seburut (Thottea grandiflora Rottb.), yang kian pupus ditelan zaman


Bagi kita yang duduk di Malaysia, jika kita pergi ke hutan-hutan kita pada masa dahulu maka kita akan jumpa pokok Seburut atau Hempedu Beruang ini dengan banyaknya. Kini ia semakin lama semakin sukar didapati dan kawasaan kedapatannya juga telah semakin mengecil. Ramai yang tidak tahu bahawa Seburut ini adalah warisan tanah air kita yang perlu kita jaga dan tidak boleh kita musnahkan. Sesungguhnya pada masa dulu nenek moyang kita pernah menggunakannya sebagai ubat herba mereka. Maka mengapa tidak kita perjuangkan agar ia terus banyak tumbuh melata?

Berikut saya kongsikan serba sedikit tentang maklumat Seburut yang patut kita lindungi dan kita jaga.

Nama Botani : Thottea grandiflora Rottb.

Nama Tempatan : Seburut (M), Hempedu Beruang (M), Kuburut (M), Semubut (M),  sel-wohl (M), Seperuit (M), Gereboh (M), Telinga Kelawar (M), Tampunek Gajah (M), Seperuit (M), Daun Lanjut (M), Purple Thottea (Ing)

Keluarga : Aristolochiaceae

Asal : Semenanjung Malaysia, Myanmar, Singapura.

Kedapatan : Sesuai hidup di hutan hujan tropika. Tumbuh meliar di hutan tanah pamah hingga ke hutan bukit sehingga ketinggian 600 m dari paras laut.  Di Malaysia, paling banyak didapati di bahagian selatan Semenanjung Malaysia.  Memerlukan naungan dan keadaan yang lembap.

Ciri : Renek yang kebiasaannya tumbuh setinggi 1 m dan kadang kala boleh setinggi 3 m.  Tumbuh berumpun dan mempunyai batang bawah tanah yang bercabang dan menghasilkan batang yang tumbuh tegak lurus yang jarang-jarang bercabang kecuali sekiranya patah atau cedera.  Daun tunggal berbentuk lonjong atau bujur telur, berukuran 15-30 cm panjang, 9-20 cm lebar, permukaan atas kasar, permukaan bawah berbulu, liat.  Bunga dalam jambak bunga yang keluar berjuntai sepanjang 5-12.5 cm, berwarna putih atau ungu kemerah-merahan, urat berjalin jelas kelihatan, berbulu, berbunga sepanjang tahun.  Buah jenis kapsul berbentuk tirus, 10-15 cm panjang.

Khasiat Ubatan :
• Batang berkayu - Merawat kencing manis, rawatan selepas bersalin, demam panas, demam teruk, berak berdarah.
• Rizom (batang dalam tanah), akar, pangkal pokok - Sebagai tonik bagi ibu selepas bersalin, merawat batuk kering, demam panas, demam malaria, disenteri.  

Cara Penggunaan :
• Kencing manis, rawatan selepas bersalin, demam panas, demam teruk, berak berdarah - Batang berkayu Seburut direbus di dalam 3 gelas air dan dibiarkan mendidih sehingga airnya tinggal segelas.  Setelah sejuk, tapis lalu diminum 2 kali sehari iaitu pada pagi dan petang.
• Rawatan ibu selepas bersalin,  batuk kering, demam panas, demam malaria, disenteri, berak berdarah - Rizom, akar dan pangkal pokok Seburut direbus sehingga airnya tinggal setengah.  Setelah sejuk, tapis lalu diminum.  

Rujukan :
Tumbuhan Ubatan Liar Di Sekeliling Anda. Terbitan : Ar Risalah.



Saturday, April 23, 2016

JAMBU BATU (PSIDIUM GUAJAVA LINN.) DIGALAKAN DITANAM DI RUMAH-RUMAH



NAMA LAIN : Jambu Batu (Melayu), Jambu Biji (Melayu), Jambu Kletuk (Indonesia), Guava (Inggeris), Fan Shi Liu Gan (China), Jamphal (India), Jamrukh (India), Guajave (Pakistan)
NAMA BOTANI Psidium guajava Linn.
NAMA SINONIM : -
KELUARGA : Myrtaceae

TABURAN
Berasal dari Amerika Tropika. Kini boleh didapati di negara beriklim tropika dan sub tropika. Sesuai tumbuh di kawasan terdedah kepada cahaya matahari. Ditanam bagi mendapatkan buahnya sama ada ditanam di dalam pasu atau ditanam di atas tanah. samaada di perkarangan rumah/bangunan, di pinggiran jalan atau di taman-taman. Boleh didapati tumbuh pada ketinggian 1-1,200 m dari aras laut.

KETERANGAN TANAMAN
Pokok kecil setinggi 2-10 m, percabangan banyak.  Batang berkayu keras, kulit batang licin mengelupas, berwarna cokelat kehijauan.  Daun jenis tunggal, susunan bertentangan, bertangkai pendek, terletak berhadapan, daun muda berbulu halus, permukaan atas daun tua licin.  Helaian daun berbentuk gujur memanjang, saiz 6-14 cm panjang, 3-6 cm lebar, berwarna hijau.  Bunga jenis tunggal atau keluar 2 kuntum, bertangkai, keluar dari ketiak daun, berwarna putih, lebar 3-3.5 cm, banyak stamen.  Buah jenis beri, bulat, seperti pir atau bujur, bersaiz sederhana besar, hujung buah ada kelopak kalis yang kekal, berwarna hijau ketika muda dan bertukar kekuning apabila matang.  Isi buah tebal, rasanya sedap iaitu manis kemasaman, berwarna kuning atau kemerahan, mempunyai banyak biji.  Biji kecil, bulat, keras, terkumpul di bahagian tengah buah.  

KANDUNGAN KIMIA
  • Daun - Mengandungi eugenol, minyak lemak, damar, 9-10% tanin, beta-sitosterol, asid maslinik, asid guaijavolik, minyak esen selinen, kariofilen oksida, triterpenoid seperti asid oleanolik, asid ursolik, asid krategolik, asid guaijavolik.  
  • Bunga - Mengandungi tanin.  
  • Akar - Mengandungi banyak tanin.  
  • Buah - Mengandungi asid amino (tritofan, lisin), pektin, kalsium, fosfor, besi, mangan, magnesium, belerang dan Vitamin (A, B1 dan C).  Ketika matang, kandungan vitamin C mencapai 3-6 kali ganda lebih tinggi dari kandungan limau. Banyak serat yang larut air terutama di bahagian kulitnya sehingga dapat mengganggu penyerapan glukosa dan lemak yang berasal dari makanan dan membuangnya ke luar tubuh..

PENYAKIT YANG DIUBATI
  • Akar - Merawat cirit-birit, mengelak mata rabun, tulang rapuh, gigi rapuh, seriawan.  
  • Batang - Merawat cirit-birit, sakit usus besar, sakit perut, seriawan, perut buncit. 
  • Buah - Merawat Kencing manis, kolestrol darah tinggi, sembelit, sesak nafas, diabetes, disenteri, penyakit paru-paru, sakit dada, sebagai tonik badan, kegemukan, pencegah penyakit. 
  • Bunga - Merawat cirit-birit, disenteri, radang selaput lendir perut serta usus.  
  • Daun - Merawat sakit perut, keputihan,  buang air berlendir, kolestrol darah tinggi, haid tidak lancar, sering buang air kecil, sering buang air besar, luka berdarah, pecah mulut.
  • Seluruh bahagian - Merawat sakit perut memulas (diare).

CARA PENGGUNAAN UMUM
· Ubat Minum - Daun, batang, akar atau bunga direbus lalu diminum airnya.
· Untuk Pemakaian Luar - Daun dan bunga ditumbuk lumat lalu diletakkan pada bahagian yang sakit.

CONTOH PENGGUNAAN KHUSUS
  • Ulser, kurap - Daun Jambu Batu dikeringkan, ditumbuk lumat menjadi serbuk, lalu disapukan pada bahagian yang berpenyakit.
  • Sakit perut, cirit-birit, perut kembung pada bayi,anak kecil, kolestrol darah tinggi, haid tidak lancar, sering buang air kecil, luka berdarah, pecah mulut, bengkak perut serta usus, selsema - Daun Jambu Batu direbus sehingga mendidih.  Setelah sejuk, tapis lalu diminum. 
  • Penghadaman tidak lancar, kolestrol darah tinggi,  cirit-birit (diarrhoea) - Akar dan kulit batang Jambu Batu direbus dengan 3 gelas air dan dibiarkan mendidih sehingga airnya tinggal 1 gelas.  Setelah sejuk, tapis lalu diminum setiap 3 jam.  
     LAIN-LAIN KEGUNAAN 
  • Buah (masak) - dimakan segar atau dibuat jus, manisan, jem, kordial, kek, pai, sup, ditinkan disalai atau dibuat serbuk.  
  • Daun - Dikeringkan, dimasukkan ke dalam air panas lalu diminum seperti teh.  Direbus dalam masakan tertentu bagi mengurangkan atau menghilangkan rasa pahit sesuatu jenis sayuran.   
  • Batang - Kayunya sederhana kuat, tahan dalam pembinaan bangunan dan boleh dibuat perkakas kecil umpamanya hulu keris.

NOTA TAMBAHAN :
  • Zat flavonoid dari daun jambu batu dapat melambatkan pergandaan virus yang menyebabkan penyakit AIDS iaitu 'human immunodeficiency virus (HIV) di mana ia menghambat pengeluaran enzim 'reversed transcriptase' yang dapat mengubah RNA virus menjadi DNA di dalam tubuh manusia. 
  • Untuk perubatan sebaiknya gunakan spesis yang berwarna merah.

SUMBER RUJUKAN : Tanaman Makanan Ubatan Di Sekeliling Anda. Terbitan Ar-Risalah.


Friday, April 22, 2016

Kegunaan Tumbuhan



Bila kita pandang keliling kita, kita pasti akan melihat ada tumbuhan di sekeliling kita baik yang kita tanam mahupun yang tumbuh sendiri. Ada yang tahu namanya dan ada yang kita tak tahu namanya. Pada masa dahulu, tumbuhan amat dekat dengan manusia bila mereka bukan sahaja tahu nama tumbuhan tersebut namun mereka juga tahu kegunaan tumbuhan tersebut. Malangnya disebabkan kemodenan hidup yang kita lalui maka amalan menggunakan tumbuhan yang ada sekeliling kita semakin terhakis. Kita cuma biasa makan tumbuhan yang biasa kita lihat orang makan, kita biasa tanam tumbuhan yang biasa kita lihat orang tanam dan kita biasa gunakan tumbuhan yang orang biasa gunakan.

Sebenarnya semua tumbuhan yang ada di sekeliling kita ada kegunaannya kerana Allah menjadi setiap makhluknya ada gunanya. Oleh itu setiap bahagian tumbuhan ada gunanya di antaranya sebagai bahan makanan, hiasan, rempah ratus, bauan, ubatan, kraf tangan, peralatan, binaan berat, binaan ringan, perabut, kenderaan, hiasan dan banyak lagi. Andai kita ada ilmu tentang tumbuh-tumbuhan itu maka kita boleh sahaja menggunakan tumbuh-tumbuhan yang ada di sekeliling kita baik tumbuhan itu kita tanam mahupun yang tumbuh meliar.

Sebagai contohnya :

Untuk bauan - bunga mawar, bunga melur, buah pala, serai wangi, limau purut, kayu manis, jintan manis, ketumber, daun pandan.

Untuk makanan - Buah-buahan, sayur-sayuran, ulaman.

Perasa - Pandan, durian, limau nipis, asam jawa.

Rempah ratus -  Jintan manis, cengkih, ketumber, buah pelaga, kayu manis.

Ubatan - Tongkat Ali, Mahkota Dewa, Kacip Fatimah, Belalai Gajah, Mengkudu.

Ulaman - Pegaga, Ulam Raja, Terung Pipit, Timun, jering, petai, kerdas.

Barang berguna - Rotan, mempalas, palas, kelapa

Alat muzik - Pulai

Racun - Tuba

Peralatan, binaan, perabut, kenderaan - Dari batang pokok-pokok berkayu umpana pokok meranti, merbau, berlian, tembusu.

Bunga keratan - bunga ros, orkid, tulip.

Pokok hiasan  - pokok bungaan, palma, cycade.

Penutup Bumi/penghalang hakisan - Rumput.

Pokok ekologikal - Mata pelanduk, gunchak.

Pokok dalam air - banat, teratai, sakura air, tangki, jerangau.


Ini hanya sebahagian contohnya sedangkan banyak lagi kegunaan tumbuhan yang boleh disebut. Jika ada kesempatan insyaAllah saya kongsikan secara lebih terperinci untuk setiap tumbuhan....

Terima Kasih Allah kerana jadikan tumbuh-tumbuhan bagi kegunaan kami...